TERDAPAT cubaan daripada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melepaskan kontena-kontena dipercayai mengandungi e-waste di Westports, Pelabuhan Klang, tanpa punca kuasa yang jelas dan justifikasi wajar.
Demikian didedahkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) susulan maklumat diterima pada Mei tahun lalu mengenai kemungkinan salah laku pegawai berkenaan di Pelabuhan Klang.
Jelas EAIC, daripada hasil siasatan, pihaknya mengesahkan terdapat kebocoran maklumat dalaman berkaitan pertukaran pengarah atau pegawai dan pengarah atau pegawai baharu akan melepaskan kontena-kontena tersebut.
“Malah pihak atasan JAS gagal mengambil tindakan berhubung isu kebocoran maklumat ini.
“Terdapat juga kelewatan penyelesaian kertas siasatan oleh JAS berkaitan dengan kontena-kontena tersebut yang juga berpunca daripada kelemahan penyeliaan,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan pada Isnin.
EAIC menambah, selain itu kelewatan yang amat sangat mengenai pengendalian kes berkenaan boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan pencemaran alam sekitar tidak dapat dibendung dan dilindungi dengan segera.
Katanya, EAIC telah menubuhkan satu Pasukan Petugas selaras dengan Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 untuk menyiasat dakwaan salah laku pelepasan kontena-kontena tersebut.
Untuk itu jelasnya, EAIC memutuskan untuk merujuk syor tindakan tatatertib diambil serta mengenakan hukuman yang sewajarnya terhadap pegawai-pegawai JAS yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Kumpulan Pengurusan Tertinggi melalui Ketua Setiausaha Negara (KSN).
“Kita juga memutuskan untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan prosedur tetap operasi JAS dan Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) JAS kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk tindakan selanjutnya.
“Selain itu memanjangkan dapatan siasatan dan pengesyoran bersama-sama dengan laporan EAIC kepada Ketua Setiausaha Negara,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]