Berita

PDRM perketat kawalan keselamatan tahap tertinggi

- Diterbit 22 Mei 2024 12:16 AM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga memperketatkan kawalan keselamatan pada tahap tertinggi di bangunan kerajaan, tempat tumpuan awam dan fasiliti berkepentingan.

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, berkata PDRM amat memandang serius terhadap beberapa insiden serangan dan ancaman yang berlaku di tempat awam termasuk beberapa lokasi sensitif dan premis-premis kerajaan baru-baru ini.

Menurut Azmi, insiden yang berlaku di beberapa lokasi seluruh negara itu telah menimbulkan kegusaran kepada masyarakat umum mengenai tahap keselamatan dan ketenteraman negara.

“Sebagai usaha berterusan memastikan keselamatan awam terpelihara PDRM sentiasa bersiap siaga dan memperketatkan kawalan keselamatan dan kententeraman negara pada tahap tertinggi di bangunan kerajaan, tempat tumpuan awam dan fasiliti berkepentingan.

“Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah mengarahkan semua peringkat kepemimpinan PDRM serta petugas di lapangan mengambil langkah-langkah komprehensif semasa menjalankan tugas dengan mematuhi pekeliling, prosedur operasi standard (SOP) dan arahan semasa yang dikeluarkan oleh PDRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azmi, masyarakat diseru agar terus bekerjasama untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan negara kepada pihak berkuasa.

“Pihak polis tidak akan bertolak ansur kepada anasir yang cuba mengancam keselamatan dan mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Tindakan tegas berlandaskan lunas undang-undang akan diambil tanpa mengira status dan latar belakang mereka yang terlibat,” ujarnya.

Azmi turut menegaskan PDRM memberi jaminan keselamatan awam negara berada pada tahap selamat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas