POLIS Diraja Malaysia (PDRM) masih mengumpul risikan sekiranya terdapat sebarang ancaman kepada negara berhubung isu Malaysia membela nasib rakyat Palestin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata setakat ini tiada ancaman yang diterima daripada mana-mana pihak.
“Buat masa ini tiada ugutan secara ‘direct’ (terus), tetapi pihak polis masih mengumpulkan maklumat risikan.
“Setakat ini, semua perihal keselamatan berada pada tahap sangat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih Bilangan 10 Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin bulan lalu mendedahkan menerima ugutan dari negara luar susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.
Sehubungan itu, PDRM akan mengumpul maklumat sekiranya terdapat aktiviti membabitkan ejen perisikan Mossad di negara ini ekoran timbul ugutan terhadap Perdana Menteri yang menyatakan sokongan kepada Gaza dan Palestin. – WILAYAHKU.