TERDAPAT segelintir warganet yang meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas dalam soal main mercun ketika Aidilfitri.
Mereka mula mempertikaikan ketegasan PDRM dan menganggap kononnya ada diskriminasi kaum di sebalik larangan itu.
Dakwa mereka PDRM tidak pula bertegas ketika sambutan perayaan lain, tapi bersungguh-sungguh apabila sambutan yang melibatkan Aidilfitri.
Sebenarnya mereka salah faham. Sudah terang lagi bersuluh bahawa mercun itu membahayakan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata aktiviti itu berisiko menyebabkan kecederaan serius, kebakaran serta gangguan ketenteraman awam.
“Malah, kami ingin mengingatkan bahawa bermain mercun tanpa kebenaran adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara atau denda berat,” katanya.
Beliau berkata sepanjang tahun ini dua kes kecederaan akibat bermain mercun dilapor membabitkan dua kanak-kanak di Kedah dan Kelantan.
“Kami bimbang kejadian seperti ini akan terus berulang, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
“Orang ramai, khususnya ibu bapa, perlu memantau aktiviti anak-anak dan menasihati mereka supaya tidak bermain mercun,” katanya.
Razarudin berkata bermain mercun boleh mengakibatkan kecederaan parah seperti melecur, putus jari, buta dan kecacatan kekal, selain bunyi letupannya boleh mengganggu ketenteraman awam terutama bayi, warga emas serta pesakit.
“Selain kecederaan, letupan mercun juga boleh menyebabkan kebakaran rumah, kenderaan serta kawasan belukar.
“Dalam beberapa kes sebelum ini, kebakaran besar dilaporkan berpunca daripada percikan api mercun yang terkena bahan mudah terbakar,” katanya.
Razarudin berkata PDRM dengan kerjasama agensi keselamatan dan pihak berkuasa tempatan akan mempergiatkan kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat mengenai bahaya bermain mercun.
“Kempen kesedaran perlu dianjurkan pada peringkat sekolah, masjid dan media sosial bagi menyampaikan mesej mengenai bahaya bermain mercun.
“Orang ramai disaran meraikan perayaan dengan cara lebih selamat seperti menghadiri pertunjukan cahaya, permainan tradisional atau mengadakan majlis keluarga tanpa mercun,” katanya. – WILAYAHKU