Berita

PDRM bersama MyFundAction lancar Tabung Solidariti Palestin – KPN

- Diterbit 28 Oktober 2023 12:10 AM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersama MyFundAction melancarkan Tabung Solidariti Palestin yang bermula hari ini sehingga 5 November sebagai tanda sokongan dan keprihatinan warga PDRM ke atas perjuangan rakyat Palestin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata tabung ini diwujudkan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin.

“Kami turut bersimpati dengan nasib yang menimpa saudara-saudari kita di Palestin. Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung serta memberi keceriaan kepada mereka.

Bagi orang ramai yang tidak berkesempatan untuk hadir ke masjid ini untuk menyalurkan secara fizikal, mereka juga boleh menghulurkan bantuan secara dalam talian di laman sesawang MyFundAction,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Kemuncak Sambutan 25 tahun Karnival Jubli Perak Masjid Bukit Aman, di sini, malam ini.

Sementara itu, Razarudin menegaskan bahawa PDRM menyokong penuh pendirian kerajaan bagi menghentikan kekejaman Israel serta mempertahankan hak dan kebebasan Palestin.

“Seperti kita sedia maklum Palestin sedang berhadapan dengan rejim Zionis yang tidak berkesudahan. Seluruh masyarakat dunia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berperikemanusiaan Israel yang mengorbankan ribuan nyawa penduduk Palestin,” katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, Razarudin yang juga Penaung Jawatankuasa Masjid Bukit Aman merasmikan program berkenaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas