Berita

PBS bertanding 15 kerusi, guna lambang sendiri

- Diterbit 11 September 2020 4:22 AM MYT

PARTI Bersatu Sabah (PBS), gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) akan bertanding 15 kerusi dan menggunakan lambang parti itu sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 Sept ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata walaupun PBS memohon untuk bertanding 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun atas dasar semangat permuafakatan dan menghormati parti lain dalam gabungan itu, parti memutuskan perkara paling penting adalah memenangi PRN Sabah dan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara pada masa akan datang.

“Jentera pilihan raya parti kami telah bersiap siaga sebelum Warisan membubarkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Maximus berkata kerusi PBS akan ditandingi atas tiket PN dan akar umbi yakin bahawa sokongan terhadap PBS akan lebih kuat dengan menggunakan bendera dan lambang parti mereka sendiri, namun bekerjasama dengan PN.

Beliau juga yakin bahawa kerja keras semua parti dalam gabungan PN dan ahli parti dalam PBS, akan membolehkan mereka memenangi pilihan raya kali ini.– BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas