PENANTIAN Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL) untuk mendapatkan sebuah kenderaan bagi membantu memudahkan perjalanan atlet kini berakhir apabila menerima tajaan baru-baru ini.
Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Razalif Mohamad Zain berkata pihaknya berbesar hati untuk mengadakan kerjasama bersama pihak PBKL dalam memartabatkan lagi sukan berbasikal di Malaysia.
“Kita telah memberikan sebuah van kerana difahamkan pihak persatuan memerlukan sebuah kenderaan untuk membawa pelumba bagi sesi latihan, pertandingan dan sebagainya.
“Selain itu, Yayasan Metamorphosis juga akan menyalurkan sedikit dana kira-kira RM500,000 sehingga RM1 juta untuk kegunaan pihak PBKL,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Tajaan kepada PBKL baru-baru ini.
Hadir sama Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh.
Mengulas lanjut, Razalif berkata pihaknya juga sudah berbincang dengan wakil PBKL untuk membawa persatuan ini didaftarkan sebagai semi pro di peringkat persatuan berbasikal Wilayah Persekutuan.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan dan membawa para atlet ke peringkat yang lebih jauh seperti antarabangsa dan menyertai lebih banyak kejohanan. Menerusi ini juga kita dapat mencari lebih ramai pelapis bagi sukan berbasikal.
“Seperti kita ketahui sukan berbasikal ini adalah sukan elit di mana ia memerlukan perbelanjaan wang yang banyak jadi Yayasan Metamorphosis berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama serta membantu apa yang perlu terutama dari segi dana,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nik Ahmad Zahiruddin turut mengucapkan tahniah di atas usaha PBKL dalam mencari penaja tersendiri.
“Tahniah kepada pihak persatuan kerana mempunyai inisiatif untuk mencari penaja sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada MSWP yang sememangnya kita tahu mempunyai dana yang terhad.
“Dengan adanya kenderaan sendiri, ia juga boleh digunakan dan dikongsi dengan persatuan lain sekiranya memerlukan dan apa yang lebih penting adalah PBKL boleh memberi lebih fokus kepada latihan atlet selepas ini,” katanya. – WILAYAHKU