Berita

PBB kecam keganasan selepas pilihan raya Guinea

- Diterbit 23 Oktober 2020 8:50 AM MYT

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam keganasan pasca pilihan raya yang meragut beberapa nyawa di negara Afrika Barat Guinea, kata jurucakapnya, lapor agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung berkata Guterres sangat sedih dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda di Guinea.

Beberapa individu, termasuk seorang pegawai polis, telah terbunuh di ibu negara itu, Conakry sejak Selasa berikutan pengumuman keputusan pilihan raya yang tidak lengkap dan sementara.

Keputusan sementara menunjukkan Presiden yang berkuasa, Alpha Conde sedang mendahului, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Nasional (CENI).

Guterres melahirkan “ucapan takziah yang tulus kepada keluarga mangsa dan berharap semua yang cedera akan sembuh sepenuhnya.”

Dalam satu kenyataan, pemerintah berkata keganasan itu berpunca daripada “pengisytiharan kemenangan yang dijangka” pemimpin Union of Democratic Forces of Guinea (UFDG) Cellou Dalein Diallo.

Tuntutan kemenangan Diallo dalam pilihan raya presiden Ahad segera ditolak oleh pemerintah.

Guterres meminta semua pihak untuk segera mengambil tindakan bagi mengakhiri keganasan dan mendesak pasukan keselamatan untuk kekal bertahan pada waktu sensitif ini.

Beliau menggalakkan semua “pihak yang terlibat untuk menunggu pengumuman keputusan rasmi oleh Suruhanjaya Bebas Pemilihan Nasional dan menyelesaikan setiap pertikaian melalui mekanisme undang-undang yang telah ditetapkan.” – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas