MEMASUKI tahun ke-42 penganjurannya dan selepas berjaya mencipta rekod jumlah kehadiran pengunjung melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu seramai 1.5 juta pengunjung pada tahun lalu, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) kembali merancakkan industri buku dengan menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 pada 23 Mei hingga 1 Jun ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Bertemakan ‘Buku: Membaca, Memimpin’, sudah pasti ia merupakan perkhabaran gembira dan acara yang paling dinanti-nantikan oleh semua pencinta buku bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia malah pelancong asing.
Bagi ‘orang kuatnya’ yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2025, MOHD KHAIR NGADIRON nyata teruja dan mahu penganjuran PBAKL 2025 menjadi acara gilang-gemilang sekali gus merancakkan lagi industri pembukuan.
Kepada wartawan Wilayahku, DIANA AMIR, beliau memberikan penjelasan lebih lanjut tentang keterujaan serta perkongsian menarik yang akan ditampilkan pada PBAKL 2025.

Bagaimana dengan penganjuran PBAKL tahun ini?
Pesta Buku Antarabangsaa Kuala Lumpur 2025 atau PBAKL 2025 merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh semua penggiat industri termasuk pencinta buku. Memasuki kali ke-42 penganjuran sebenarnya saya berasa amat bangga kerana pesta buku ini telah diiktiraf sebagai The World’s 12 Best Literature Festival di mana ia merupakan satu pengiktirafan dunia terhadap PBAKL.
Penganjuran pesta buku ini juga sebenarnya menepati dua matlamat utama MBKM iaitu menggalakkan budaya membaca dalam masyarakat dan kedua, memperkasa industri perbukuan di mana festival ini menjadi medan kita memberi sebanyak mana peluang dan ruang kepada pembaca untuk mencari buku yang diminati.
Dalam masa yang sama pemain industri buku menjadikannya wadah untuk memperagakan dan menjual produk mereka sepanjang penganjuran.
Pada kali ini kita kembali dengan tema ‘Buku: Membaca, Memimpin’ yang mana menyatukan aspirasi literasi dan kepimpinan negara, menggambarkan bahawa amalan membaca adalah asas kepada pemikiran yang berwibawa dan kepimpinan berilmu.
Berapa jumlah pempamer dan anggaran jumlah pengunjung untuk PBAKL 2025?
Pada tahun lalu, seramai 1.8 juta pengunjung berjaya direkodkan sepanjang 10 hari pesta tersebut berlangsung di mana ia melepasi sasaran awal kita iaitu 1.5 juta pengunjung.
Justeru, pada tahun ini kami menyasarkan seramai 1.9 juta pengunjung di mana kita mungkin mempunyai kesukaran kerana ia bertindih dengan sidang kemuncak ASEAN bermakna Kuala Lumpur sedikit terkawal namun saya percaya lokasi kita yang berhampiran dengan kemudahan pengangkutan awam membolehkan pengunjung menggunakan alternatif tersebut untuk hadir sekali gus mencapai jumlah yang disasarkan.
Harus diingatkan bahawa PBAKL merupakan satu-satunya pesta buku antarabangsa yang diiktiraf dunia oleh UNESCO. Melalui jumlah pengunjung hadir ke PBAKL membuktikan bahawa Malaysia merupakan negara buku dan mempunyai fokus tinggi kepada pendidikan serta budaya membaca.
Selain itu, terdapat peningkatan pempamer di PBAKL 2025 iaitu sebanyak 1,172 pempamer berbanding 972 pempamer pada PBAKL 2024 membabitkan 258 syarikat. Daripada pecahan tersebut, pempamer dari luar negara turut meningkat iaitu sebanyak 28 pempamer berbanding 14 pempamer dari luar negara pada PBAKL 2024.
Perbandingan ini menunjukkan dalam kerancakan dan ledakan teknologi maklumat serta media sosial, sehingga artikel dan buku diwujudkan dalam bentuk e-buku serta laman bacaan secara dalam talian, namun masih ramai yang suka dan meminati buku fizikal yang bercetak tidak kira daripada genre fiksyen seperti novel, puisi, cerpen dan lain-lain hinggalah kepada genre non-fiksyen seperti buku umum, buku ilmiah, kitab, jurnal dan lain-lain.
Apakah keterujaan lain yang bakal ditampilkan pada pesta buku tahun ini?
Saya melihat perkara yang paling penting iaitu apakah asas yang ada kerana tanpa asas yang kukuh dan kita terus-menerus membuat kelainan, ia takkan membesar sebab itu kita pastikan beberapa perkara penting dikekalkan. Sebagai contoh kita mengekalkan ruang untuk berkreatif menerusi empat pentas yang disediakan di ruang utama, multi tent, Dewan Bandar Tun Razak 3 dan Dewan Merdeka di mana pentas-pentas ini akan menjadi ruang untuk berbincang soal buku, pemikiran, pelancaran buku baharu dan sebagainya.
Seterusnya antara kelainan PBAKL 2025 kali ini adalah penampilan empat Pavilion Khas, iaitu Pavilion Al-Falah iaitu gabungan 14 agensi agama, Pavilion Kementerian Pendidikan (KPM), Pavilion Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Perpaduan Negara.
Pada kali ini juga turut diadakan Galeri Khas TEROKA iaitu satu elemen baharu yang memberi penghormatan kepada keagungan karya Malaysia serta sejarah pembukuan negara di mana ia menampilkan koleksi karya terkenal penulis Malaysia daripada karya klasik hingga moden yang mencerminkan kepelbagaian budaya, sejarah dan identiti Malaysia.
Pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat bagaimana industri buku Malaysia berkembang seiring perubahan zaman serta menyaksikan pencapaian besar yang sudah dicapai penulis dan penerbit di arena antarabangsa.
Pada dua hari terakhir PBAKL, turut diadakan acara Solopreneur Perbukuan 2025 di Dewan Tun Dr Ismail di mana acara ini menawarkan perkhidmatan kepada orang buku oleh usahawan perkhidmatan yang berkaitan dengan industri buku.
Selain itu, seperti kita ketahui tahun ini juga berlangsung Kepengerusian ASEAN-MALAYSIA 2025 selama setahun bermula 1 Januari hingga 31 Disember ini dan sebagai tuan rumah Kepengerusian ASEAN, PBAKL 2025 juga akan menonjolkan kerjasama ASEAN dalam industri perbukuan melalui pentas utama.
Pelbagai aktiviti akan ditampilkan, termasuk perbincangan dan pembentangan kerjasama industri perbukuan negara ASEAN. Tokoh ASEAN juga akan tampil dalam pelbagai sesi untuk berbincang mengenai kerjasama serantau, pertukaran budaya dan pemerkasaan industri buku di negara anggota ASEAN. Ini akan memperkukuhkan hubungan dan memberikan platform bagi pertumbuhan perdagangan perbukuan antarabangsa dalam kalangan negara ASEAN.
Pada 31 Mei, pukul 8 malam bertempat di Pentas Utama PBAKL, akan berlangsung konsert mini lagu rakyat ASEAN di mana para pengunjung akan dihiburkan dengan lagu rakyat dari Malaysia, Taiwan, Thailand dan Indonesia.
Sejauh mana penganjuran pesta buku ini dapat menghidupkan budaya membaca terutama dalam kalangan anak muda?
Saya melihat trend tiga tahun kebelakangan ini ada transisi dari sudut pemain industri di mana kalau dahulu pemain industri terdiri daripada golongan veteran tetapi kini ramai kelompok muda yang terlibat dalam industri perbukuan.
Ini bagi saya fakta yang paling penting. Kita tengok sebagai contoh PTS, Iman Publication dan Book Cafe di mana yang menggerakkannya adalah orang muda jadi dengan adanya perkara ini saya melihat pesta buku ini telah menumbuhkan minat yang luar biasa dalam kalangan orang muda dan akhirnya yang datang ke PBAKL ini 80% adalah golongan muda.
Dari situ saya percaya bahawa minat membaca itu bertambah. Kalau sebelum ini, dapatan bahawa orang membaca di Malaysia setahun 12 buku tetapi tahun lepas dalam kajian terakhir menyatakan bahawa jumlah yang dibaca rakyat Malaysia adalah 24 buah buku dalam masa setahun. Ia adalah peningkatan luar biasa dan saya melihat salah satu faktornya adalah dengan penganjuran pesta buku ini.
Sebab itu pesta ini sangat dinanti-nantikan tambahan pula kini kita mendapat sokongan penuh daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana buat kali ketiga beliau akan hadir dan merasmikan PBAKL 2025. Dalam kesibukan, beliau tetap mahu menghadirkan diri dan bagi saya ia merupakan satu sokongan moral yang sangat luar biasa dan kami sangat berterima kasih.
Apakah harapan MBKM terhadap PBAKL 2025?
Saya mengharapkan pesta buku ini bukan sekadar pesta biasa tapi pesta di mana masyarakat Malaysia akan berpelung memilih buku yang mereka suka kerana saya percaya buku akan menjadikan bangsa kita bangsa yang bertamadun.
Buku adalah tanda aras kepada tamadun dan bangsa. Saya melihat dengan adanya pesta buku ini kita akan menggalakkan masyarakat yang berfikir.
Masyarakat yang berfikir lahir dengan masyarakat yang suka membaca dan dengan hanya memastikan rakyat kita berfikir kita akan jadi negara yang maju dan berjaya. – WILAYAHKU