MERAIKAN penganjuran 100 tahun Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, julung kalinya Pavillion Wilayah Persekutuan (WP) dengan gabungan ketiga-tiga WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan membuka pintu kepada para pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata menerusi Pavillion WP mereka mengetengahkan produk yang pelbagai dari ketiga-tiga Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada makanan, barangan, tanaman dan banyak lagi.
“Kita juga mempunyai Laman Wilayah Persekutuan yang menjadi komponen utama Pavillion WP di MAHA 2024 yang mana struktur ini akan kekal di sini meskipun selepas penganjuran MAHA.
“Struktur Laman Wilayah Persekutuan dibina dengan menerapkan teknologi binaan terkini Green Building yang dilengkapi dengan penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Laman Wilayah Persekutuan di MAHA 2024 bertempat di MAEPS, Serdang baru-baru ini.
Zaliha berkata pameran produk biodegrasi juga turut diadakan di Pavillion Wilayah Persekutuan.
“Kita juga mengambil kira kelestarian alam dengan penggunaan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH).
“Selain itu, di Pavillion Wilayah Persekutuan ini juga para pengunjung dapat menambah pengetahuan mengenai Urban Farming di laman Kebun Komuniti Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL),” ujarnya.
Beliau berkata kali ini juga Pavillion WP mengetengahkan elemen bandar dalam taman dengan membawa seramai 16 usahawan PUJI Wilayah Persekutuan di Bazar Jualan.
“Pelbagai produk yang kita tonjolkan seperti mochi, pastri, roti john, kraf tangan, produk kecantikan dan banyak lagi buat pengunjung MAHA 2024.
“Usahawan yang terlibat merupakan individu-individu yang berjaya menerusi Program Usahawan PUJI di mana produk mereka telah pun mendapat tempat di komuniti masing-masing dan sebahagiannya telah pun memasarkan produk di luar Wilayah Persekutuan dan mampu menjana pendapatan sehingga RM17,000.
“Ada yang berjaya mengambil pekerja lain dan ada juga yang berjaya mengembangkan produk mereka kepada usahawan baru dan mereka ini memberi semula kepada komuniti.
“Ini juga menjadi platform kepada usahawan-usahawan PUJI untuk berkongsi pengalaman, bertukar idea dan mencari rakan niaga yang berpotensi,” jelas beliau.
Terdahulu, turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Noridah Abdul Rahim; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.
Tambah Zaliha, daya tarikan utama adalah segmen Wilayah Persekutuanku Berkongsi RASA turut diadakan di mana pelbagai signature food yang menjadi kegemaran orang ramai dihidangkan.
“Ia termasuk makanan-makanan tular di sekitar Wilayah Persekutuan sebagai contoh kita bawakan kelazatan makanan dari Labuan iaitu sup ikan dan ambuyat untuk pengunjung merasai sendiri keenakan makanan tersebut.
“Tidak dilupakan bubur lambuk dan nasi lemak Kampung Baru legend turut dibawa sama dan pelbagai lagi jenis makanan istimewa Jom ramai-ramai ke Laman WP melihat setiap produk yang dibawakan pada kali ini,” ujarnya.
Terdahulu, MAHA telah menjadi pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara bermula pada tahun 1923 dan melangkaui satu abad penganjuran, MAHA telah menjadi pameran sektor pertanian yang sentiasa dinanti oleh segenap lapisan masyarakat kerana membawa elemen teknologi terkini dan penekanan pameran bersifat interaktif dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
Menyasarkan seramai tiga juta pengunjung, MAHA 2024 berlangsung pada 11 hingga 22 September ini bertempat di MAEPS, Serdang bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan pelbagai pengisian menarik menanti pengunjung. – WILAYAHKU