KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) membuat laporan polis berhubung kenyataan tular di media sosial berkaitan pemberhentian Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat (PTD), Panglima Tentera Laut (PTL) dan Panglima Tentera Udara (PTU).
Menurut MINDEF, pihaknya juga membuat laporan berita palsu melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai penularan kenyataan yang turut mengaitkan pertukaran pegawai-pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disebabkan oleh kontrak helikopter RM16 Bilion.
“Susulan itu Kementerian Pertahanan dengan ini menafikan kebenaran kenyataan berkenaan dan mengesahkan bahawa tiada saling perkaitan antara pemberhentian atau pertukaran panglima-panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti yang dihebahkan.
“Satu laporan berita palsu melalui MCMC dan laporan polis juga telah dibuat sebagai tindakan untuk memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak yang menghebahkan maklumat palsu,” jelas MINDEF dalam kenyataan pada Rabu.
MINDEF menambah, masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tular di media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif kepada pertahanan negara yang boleh menggugat keamanan.
“Adalah ditegaskan bahawa menyebarkan berita palsu merupakan kesalahan undang-undang yang boleh didakwa, antara lain di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.
Terdahulu tular berita yang mengaitkan kontrak helikopter dengan penamatan semua panglima dalam ATM. – WILAYAHKU