Berita

Pastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar – PM Anwar

- Diterbit 3 Februari 2025 5:54 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih atas kesudian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 (2025) hari ini.

Beliau berkata titah Baginda jelas menzahirkan keprihatinan terhadap usaha memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar dan terus membawa masuk pelbagai peluang pelaburan.

“Ini agar kemajuan ekonomi negara dapat dinikmati dan dimanfaatkan rakyat jelata.

“Patik dan seluruh jentera kerajaan Madani akan memastikan kek ekonomi ini digunakan untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat termasuk pekebun kecil, petani, nelayan dan pemain industri pertanian serta rantaian bekalan makanan negara,” katanya di Facebooknya.

Menurut Anwar, Sultan Ibrahim bertitah menyentuh kepentingan menggunapakai teknologi tinggi dan terkini dari aspek digitalisasi dan keselamatan siber.

Beliau berkata justeru percaya, ini akan membawa kepada revolusi sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan yang lebih baik apabila selesai dinaiktaraf sepenuhnya.

“Memanjatkan doa dan harapan semoga bumi bertuah Malaysia ini kekal aman makmur dan berdaya saing berpanjangan di bawah pemerintahan Tuanku,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas