“KALAU tidak ada pengembaraan ini mungkin saya tidak berpeluang menerokai keunikan dan keindahan pulau bebas cukai yang indah ini,” kata peserta Pasport 50WP, Nur Fatiha Azhreen Roslan, 32.
Pertama kali menjejakkan kaki di Labuan pastinya mencipta kenangan indah buatnya apabila berpeluang menerokai tempat-tempat yang menarik selain menikmati juadah yang menyelerakan.
“Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Labuan. Sampai sahaja di sana, saya terus ke Anjung Ketam yang merupakan antara lokasi Pasport 50WP selain destinasi pelancongan wajib dilawati pengunjung.
“Di situ terdapat pelbagai makanan laut segar seperti ketam, udang, pelbagai jenis ikan dan lain-lain. Kemudian saya ke checkpoint seterusnya iaitu Pulau Rusukan Besar yang merupakan permata tersembunyi di Labuan,” ujarnya.
Katanya dia pernah merancang untuk ke sana bersama rakan-rakan tetapi belum berkesempatan namun disebabkan Pasport 50WP akhirnya dia dapat menjejakkan kaki ke pulau tersebut.
Bercerita lanjut tentang checkpoint lain pula, dia yang sudah lama menetap di Kuala Lumpur mengakui masih banyak lagi tempat di ibu kota itu yang belum dijejakinya.
“Sejujurnya saya baru pertama kali mengunjungi Perpustakaan Kuala Lumpur, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara. Sebelum ini, saya hanya melihat dari luar sahaja,” ujarnya kepada Wilayahku.
Tambahnya, pengembaraan tersebut merupakan pengalaman berharga buatnya lebih-lebih lagi dapat bersama dua orang rakannya yang lain.
“Kebetulan mereka pun suka melakukan aktiviti seperti ini, jadi kami ambil kesempatan bercuti sambil melaksanakan misi ini bersama-sama,” katanya pengembaraan tersebut dapat mengeratkan hubungan.
Terdahulu, Program Pasport 50WP yang bermula 1 Oktober sehingga 25 Februari 2024 merupakan sebuah program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk memberi peluang kepada warga kota menerokai keunikan dan keistimewaan yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – WILAYAHKU