ENAM tahun berlalu bayang pembangunan pasar moden Datuk Keramat‚ Kuala Lumpur‚ masih belum nampak. Projek pembangunan pasar tersebut bertujuan menggantikan pasar sedia ada yang uzur. Namun ia tergendala kerana kegagalan kontraktor melaksanakan projek yang dirancang.
Bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ ini sangat menyedihkan. Setelah enam tahun masih tergendala‚ menafikan kebajikan peniaga serta pengunjung pasar yang mahukan pasar kondusif sesuai dengan kedudukan sebagai pasar ‘kampung dalam bandar’ yang menjadi tumpuan penduduk setempat.
Pada Julai lalu‚ Perdana Menteri‚ Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri datang meninjau pasar berkenaan. Beliau menyifatkan pasar tersebut sebagai sangat daif dan kerana itu beliau mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi keutamaan pembangunan semula pasar tersebut.
Bagaimanapun Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa‚ Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerajaan akan mengambil alih projek menaik taraf pasar berkenaan.
Bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ langkah ini memang tepat kerana ternyata pemaju yang diberi peluang telah gagal melaksanakannya. Johari juga mendesak DBKL mengambil semula tanah yang diberi kepada pemaju yag baharu melunaskan 10 peratus pembayaran tanah berkenaan.
Oleh itu‚ amat diharap selepas ini proses pemilihan pemaju untuk membangunkan pasar yang semakin uzur itu dipilih dengan teliti serta disemak latar belakangnya agar pisang tidak berbuah dua kali.
Jangan lupa pasar Datuk Keramat adalah nadi penduduk setempat‚ pasar popular di ibu kota selain pasar Chow Kit.