Berita

“Pasangan yang mesra, tak pernah lekang senyuman Tunku” – Agong, Permaisuri santuni rakyat  

BAGINDA dan Raja Permaisuri menyantuni rakyat di Dataran Putrajaya.
- Diterbit 31 Ogos 2023 7:11 AM MYT

YANG Di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayutuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli beramah mesra dengan pengunjung pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya hari ini.

Rata-rata pengunjung yang hadir teruja menyaksikan kehadiran pasangan diraja itu.

Bagi pengunjung, Nur Amalina Zainal Abidin berkata dia tidak menyangka dapat bertemu dan bersalaman dengan Permaisuri.

“Agak menggigil sebab biasanya kita tengok di televisyen sahaja tapi apabila berpeluang dan bersalam dan bergambar, saya teruja dan ini kenangan yang memang tidak dapat dilupakan,” katanya ketika ditemui Wilayahku.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, NurSyazwani Dahalan berkata dia amat kagum dengan pasangan Diraja ini sejak dahulu lagi.

“Baginda berdua sangat mesra dengan rakyat dan tidak pernah lekang dengan senyuman,” ujarnya yang juga tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan.

Terdahulu, baginda berdua diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas