PARLIMEN bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah.
Demikian tegas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika Titah Diraja sempena istiadat pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-15 hari ini.
Sebaliknya titah Seri Paduka, Parlimen adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
“Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara, bukannya ejen perpecahan rakyat.
“Justeru, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, dalam persidangan dewan pada tahun lalu, ahli-ahli dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan.
“Tahniah kepada semua.
“Namun begitu, masih ada juga segelintir ahli yang sukar untuk membuang tabiat lama.
“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut kerana saya percaya setiap ahli sedar dan tahu, bagaimana untuk menjaga tingkah laku masing-masing,” titahnya.
Sultan Ibrahim turut menghargai peranan yang telah dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik keran ia menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara. – WILAYAHKU