Berita

Panggung Anniversary bakal diaktifkan semula

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif
- Diterbit 14 Jun 2025 2:00 PM MYT

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif kini dalam perancangan untuk mengaktifkan semula Panggung Anniversary di Taman Botani Perdana dengan pelbagai aktiviti kesenian, budaya dan fesyen.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan kertas kerja yang akan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan (MOF).

“Saya kini sedang dalam perancangan untuk menghidup serta mengaktifkan semula panggung budaya di Taman Botani.

“Pihak saya sedang menyiapkan kertas kerja dan nanti akan dibetangkan kepada MOF. Saya harap tahun ini juga dapat diaktifan dan kita akan buat beberapa program di sana.

“Pengaktifan semula Panggung Anniversary termasuk inisiatif merakyatkan lokasi ikonik itu secara terbuka buat semua orang,” katanya.

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif

Menurut Maimumah lagi, mereka sudah mendapat lampu hijau daripada MOF untuk meneruskan usaha itu.

Bagaimanapun jumlah peruntukkan hanya akan diketahui selepas kertas kerja siap.

“Sudah lama Panggung Anniversary terbiar sedangan satu ketika dulu ia menjadi tumpuan warga kota untuk menonton persembahan seni.

“Kita juga akan berurusan dengan persatuan berkaitan seni untuk tujuan itu.

“Persembahan seperti orkestra akan dilazimkan di sana dan kita akan beri platform untuk pihak lain juga menggunakan pentas bagi meonjolkan bakat seni masing-masing.

“Apa-apa saja berbentuk kebudayaan, warisan dan seni boleh diadakan di sama termasuk batik, fesyen dan muzik,” katanya lagi.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Istana Budaya dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO)

Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Istana Budaya dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dalam satu majlis yang disempurnakan Maimunah bertempat di Mayor Courtyard, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kerjasama strategik itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk memperkukuh sektor seni dan budaya, serta mempelbagaikan pengalaman melancong di ibu negara.

Langkah itu juga selaras dengan inisiatif Warisan Kuala Lumpur yang bertujuan menghidupkan semula pusat bandar sebagai hab kreatif yang aktif, meriah dan penuh daya tarikan.

Melalui MoU ini, pelbagai program utama akan dilaksanakan, termasuk Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) yang mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya di peringkat serantau.

Inisiatif lain yang turut dirancang adalah seperti penerbitan kalendar acara tahunan menerusi portal VisitKL dan penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur pada Oktober 2025.

Kerjasama ini juga akan diteruskan sehingga tahun 2026 dengan pelaksanaan FOKL dalam skala yang lebih besar dan impak yang lebih meluas kepada masyarakat. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas