Pandalela-Mun Yee : Usaha bawa pulang pingat Olimpik Tokyo tidak kesampaian
PANDALELA Rinong dan Leong Mun Yee menduduki tempat kelapan dan terakhir dalam acara terjun 10 meter (m) platform seirama wanita di Pusat Akuatik Tokyo, tadi. Gambar - AFP

Pandalela-Mun Yee : Usaha bawa pulang pingat Olimpik Tokyo tidak kesampaian

MALAYSIA terpaksa menunggu lebih lama sebelum meraih pingat pertama di Olimpik Tokyo 2020, apabila usaha Pandelela Rinong-Leong Mun Yee untuk memperolehinya hari ini tidak kesampaian dengan hanya menduduki tempat kelapan dan terakhir acara terjun 10 meter (m) platform seirama wanita di Pusat Akuatik Tokyo.

Pasangan berpengalaman itu bermula dengan baik apabila menduduki tempat kedua dengan 50.40 mata selepas terjunan pertama. Namun pada terjunan selepas itu terutamanya pada tiga terjunan terakhir, mereka gagal mengekalkan prestasi dan hanya mengutip 277.98 mata selepas melengkapkan lima terjunan.

Apa yang agak mengecewakan ialah Pandelela memenangi pingat perak dalam acara yang sama di Olimpik Rio 2016 bersama Cheong Jun Hoong.

China mengekalkan penguasaan mereka dalam acara terjun, apabila Zhang Jiaqi-Chen Yuxi menang emas selepas mencatatkan masa 364.78 mata. China telah memenangi kesemua pingat emas acara terjun seirama sejak pengenalannya pada Olimpik Sidney 2000.

Sementara itu, Delaney Schnell-Jessica Parratto menghadiahkan Amerika Syarikat pingat mereka yang pertama dalam acara itu, apabila menang perak dengan 210.80 mata manakala Alejandra Loza-Gabriela Agundez Garcia dari Mexico (299.70 mata) menang gangsa.

Pandelela, 28, yang bertanding buat kali keempat berturut-turut di Olimpik sejak penampilan pertamanya di Olimpik Beijing 2008, merupakan atlet terjun negara pertama memenangi pingat Olimpik, apabila beliau memenangi pingat gangsa dalam acara 10m platform individu di London 2012.

Dan empat tahun kemudiannya pada Olimpik Rio 2016, penerjun kelahiran Kuching yang ketika itu berpasangan dengan Jun Hoong, menang perak dalam acara 10m platform seirama wanita.

Mun Yee, 36, yang dalam penampilan Olimpiknya kelima sejak penampilan pertamanya pada Olimpik Sydney 2000, telah memenangi pingat dalam hampir kesemua kejohanan antarabangsa, kecuali pingat Olimpik.

Penyertaan Malaysia dalam acara terjun akan diteruskan dengan Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee dalam pusingan awal acara 3m papan anjal individu wanita pada Jumaat (30 Julai) dan juga Pandelela dan Jun Hoong dalam pusingan awal acara 10m platform individu wanita pada 4 Ogos. – BERNAMA

CATEGORIES