Oleh SABRINA SABRE
PIHAK Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Reka bentuk, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Pameran SMArt Botanic Edu-Care ‘Plants and People Exhibition’ bermula pada 1 hingga 31 Oktober ini bertempat di Bangunan Pusat Interpretif Pelawat (VIC), Taman Botani Putrajaya, Presint 1, Putrajaya.
Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata antara pengisian sepanjang pameran bertemakan ‘Plants and People Exhibition’ ini adalah hasil kerja pelajar mereka bentuk Laman Dapur (Kitchen Garden) serta berkaitan dengan seni bina landskap, aktiviti pemindahan ilmu seperti workshop dan beberapa aktiviti kreatif juga syarahan input dengan mensasarkan komuniti setempat, institusi kerajaan, sekolah dan orang awam.
“Pameran ini bermula daripada kerjasama untuk mengadakan satu pertandingan landskap di Taman Botani Putrajaya bersama Bahagian Botani, Jabatan Landskap dan Taman dengan melibatkan pelajar dari Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Reka bentuk, UPM. Kerjasama tersebut diperluaskan lagi dengan mengadakan satu pameran untuk mempamerkan hasil-hasil kerja studio pelajar tersebut.
“Pelaksanaan projek ini adalah bertujuan untuk mempromosikan Taman Botani Putrajaya dan juga mengetengahkan peranan seni bina landskap serta reka bentuk bersifat semula jadi kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Sebanyak 44 Pelan Induk telah berjaya dihasilkan oleh pelajar melibatkan pelajar-pelajar tahun 2 dan akhirnya lapan konsep pelan reka bentuk Laman Dapur (Kitchen Garden) yang terbaik telah dikenal pasti,” ujar beliau kepada Wilayahku.
Menurut Fadlun, pemilihan pemenang adalah berpandukan kepada idea konsep dan persembahan reka bentuk landskap yang menarik, menepati tema dan mempamerkan reka bentuk landskap yang terbaik serta berpotensi untuk diterapkan di tapak sebenar bertempat di Laman Dapur di Taman Botani Putrajaya, Presint 1, Putrajaya.
“Seramai lapan orang pelajar diumumkan sebagai pemenang iaitu Tan Jia Wei dengan konsep Reminiscing Memories (juara), Azlee Nadim dengan konsep Menelusuri Warisan Alam (naib juara) dan enam pemenang untuk kategori merit terdiri daripada Nurul Aiman Izaini (Botany Living Treasure), Ng Anqi (Serene), Nurfarisa Anis Ramle (Bedibles), Syasya Ahmad (Dig into Nature), Teoh Shuwey (Tropic Taste) dan Wong Jun Hao (Feed).
“Juara pertandingan akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM400 manakala bagi naib juara pula adalah sebanyak RM200 dan hadiah merit masing-masing adalah sebanyak RM150. Masing-masing turut membawa pulang sijil penyertaan,” tambah beliau.
Fadlun berkata pihak PPj berhasrat untuk menjadikan golongan muda sebagai generasi yang menghargai alam sekitar dengan penerapan ilmu botani melalui pendedahan kepada asas penanaman koleksi Laman Dapur dan reka bentuk landskap.
“Sekurang-kurangnya asas ilmu ini akan membantu dalam mengindahkan lagi persekitaran sekolah mahupun kediaman masing-masing khususnya di Putrajaya.
“Di samping itu, ia adalah bagi menggalakkan budaya hidup yang lebih sihat selain mencapai matlamat pembangunan mampan Sustainable Development Goals (SDGs) di Putrajaya iaitu SDGs 2: Sifar Kebuluran (Zero Hunger), SDGs 3: Kesihatan Yang Baik Dan Sejahtara (Good Health An Well Being), SDGs 11: Bandar Dan Komuniti Mampan (Sustainable Cities And Communities),” ujarnya pameran ini merupakan satu aktiviti komuniti di antara UPM dan Taman Botani Putrajaya.
Dalam masa sama, beliau berharap melalui pameran dan pertandingan seumpama ini dapat menggalakkan pelajar untuk lebih menghargai dan menjaga alam sekitar, membina generasi yang peka kepada persekitaran dengan menjadikan Laman Dapur (Kitchen Garden) sebagai salah satu aktiviti pendidikan berasaskan botani yang bermanfaat untuk kesejahteraan serta kelestarian Putrajaya sebagai Bandar Raya Taman dan Bandar Raya Bestari. – WILAYAHKU