Berita

Pamer aksi cemerlang di AUG 2024, Malaysia bawa pulang 38 pingat emas

- Diterbit 12 Julai 2024 4:30 PM MYT

KONTINJEN negara menamatkan kempen di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 dengan aksi terpuji apabila berjaya membawa pulang 38 pingat emas selepas 11 hari berjuang bermula 26 Jun lepas.

Jumlah 38 pingat emas itu mengatasi sasaran awal iaitu 35 emas yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) namun masih jauh jika dibandingkan dengan pencapaian terbaik Malaysia pada edisi 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand yang mana menyaksikan kontinjen negara meraih 49 emas, 83 perak dan 50 gangsa.

Momentum kutipan pingat juga sedikit perlahan apabila pingat emas ke-35 hanya diperoleh pada hari kedua terakhir saingan menerusi atlet karate, H Sureeya Shankar.

Tuan rumah, Indonesia memanfaatkan peluang sebaiknya beraksi di laman sendiri untuk mengungguli carta kutipan pingat dengan 126 emas, 99 perak dan 71 gangsa diikuti Thailand 53-49-29 kedua dan Malaysia dengan 38 emas, 45 perak dan 60 gangsa untuk tempat ketiga keseluruhan.

Kem olahraga menjadi penyumbang pingat emas terbanyak dengan keseluruhan 13 pingat emas, 10 perak dan lapan gangsa diikuti kem renang yang melepasi sasaran tujuh emas dengan sembilan emas, tujuh perak dan 16 pingat gangsa.

Skuad judo tidak kurang hebatnya apabila membutirkan tiga emas, tiga perak dan satu gangsa manakala kem memanah menyumbang dua pingat emas pada hari terakhir AUG 2024.

Dalam pada itu, ramalan sukan tempur iaitu karate, taekwondo dan pencak silat sebagai lubuk emas meleset apabila masing-masing menyumbang dua pingat emas, meskipun dibarisi beberapa atlet berprofil tinggi kali ini.

Hasrat kem badminton untuk membawa pulang empat emas juga tidak tercapai apabila hanya menjelmakan dua emas selain impian kem petanque yang mahu mengutip dua pingat emas lebur apabila terpaksa berpuas hati dengan satu emas.

Skuad bola keranjang juga hambar dan terpaksa berpuas hati dengan satu pingat perak dalam acara 5×5 wanita dan dua gangsa dalam acara 3×3 lelaki dan wanita manakala sepak takraw menyumbang satu gangsa.

Sukan panjat tembok dan bola tampar yang tampil pada edisi 2024 kali ini terpaksa akur apabila pulang dengan tangan kosong.

Sementara itu, Ketua Kontinjen negara ke AUG 2024, Suhairi Ismail menarik nafas lega apabila sasaran 35 pingat emas itu berjaya dicapai kontinjen Malaysia yang mampu melepasi sasaran pada hari terakhir 6 Julai lalu.

“Kita terlepas beberapa acara seperti wushu kerana tidak menghantar atlet bagi acara berkenaan. Itu menyebabkan kita punya pingat emas sedikit perlahan, kita boleh lihat sebenarnya sukan yang dipertandingkan dan cabaran atlet di Indonesia sengit.

“Pada 2026 kita jadi tuan rumah, pascanilai akan dilakukan supaya dapat memberi cabaran sebenar sebagai tuan rumah untuk mencipta prestasi cemerlang pada edisi seterusnya,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas