Berita

Paksa peluk Islam: JAKIM selar laporan tidak berasas portal berita luar negara

- Diterbit 22 Januari 2025 10:59 AM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius laporan tidak berasas, dipercayai portal berita luar negara, yang melaporkan dakwaan jabatan itu terlibat isu memaksa pelajar bukan Islam supaya memeluk Islam semasa program orientasi universiti.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, penjelasan lanjut berhubung isu tersebut telah dikeluarkan oleh universiti berkenaan melalui kenyataan rasmi sebelum ini.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa sebarang laporan yang dibuat haruslah bersandarkan sumber yang sahih dengan pembuktian yang jelas demi mengelakkan salah faham dan ketegangan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sirajuddin memberitahu, pihaknya menasihatkan kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam melaporkan berita demi mengekalkan keharmonian hidup beragama yang telah dinikmati sekian lama oleh masyarakat Malaysia.

Semua pihak juga katanya, diseru agar menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan yang menjadi panduan dan asas negara ini dibina.

“JAKIM menyeru pengamal media khususnya dari luar negara agar sentiasa menghormati sensitiviti budaya, agama dan perlembagaan negara Malaysia ketika melaporkan sebarang isu yang melibatkan masyarakat tempatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas