Berita

Pakistan, Iran gesa usaha bersepadu negara Islam hentikan serangan Israel

- Diterbit 21 Disember 2023 10:20 AM MYT

PAKISTAN dan Iran menggesa usaha bersepadu oleh negara-negara Islam bagi menamatkan kekejaman Israel di Palestin.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Presiden Pakistan, Arif Alvi menerusi perbualan telefon pada Rabu membincangkan genosid yang dilakukan tentera Israel di Gaza.

Kedua-dua pemimpin itu menegaskan bahawa negara-negara Islam perlu menyelaraskan usaha demi menamatkan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan yang terus berlanjutan di Gaza, menurut pejabat Alvi dalam hantaran di media sosial.

Tindakan bersama itu boleh memberi tekanan kepada rejim Israel, menurut kenyataan Raisi.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut mengkritik kegagalan organisasi antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam mempertahankan rakyat Palestin daripada serangan Israel.

Mereka bersetuju bahawa “usaha perlu dilakukan bagi mengubah struktur organisasi antarabangsa dan umat Islam mesti menjadi perintis dalam bidang ini,” menurut kenyataan Iran.

Sementara itu, Presiden Maldives Mohamed Muizzu dalam satu kenyataan pada Rabu turut mengecam kegagalan Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil langkah tegas menamatkan penderitaan di Gaza.

Muizzu berkata veto terhadap resolusi yang menyeru gencatan senjata telah mengakibatkan masyarakat dunia “mempersoalkan nilai kemanusiaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu”.

Beliau mengulangi gesaan Maldives kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menyiasat kemungkinan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Washington memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB pada 18 Okt yang menggesa “jeda kemanusiaan” bagi menyampaikan bantuan kepada 2.3 juta penduduk Gaza yang terkepung.

Pada 8 Disember, AS turut memveto satu lagi resolusi Majlis Keselamatan yang menggesa “gencatan senjata kemanusiaan segera”.

Ketika situasi di Gaza semakin meruncing, Majlis Keselamatan pada Rabu sekali lagi menangguhkan mesyuarat bagi membincangkan gesaan terhadap “jeda kemanusiaan segera”.

Angka kematian di Gaza telah melepasi 20,000 termasuk 8,000 kanak-kanak dan 6,200 wanita. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas