SERAMAI 40 orang telah diambil keterangan susulan penularan video beberapa individu menghadiri satu majlis dan berpakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat beruniform.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengesan penularan video berkenaan pada 3 Januari lalu melalui aplikasi TikTok.
Menurut beliau, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan atau Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Siasatan telah dijalankan dan 40 individu diambil keterangan selain rampasan 18 helai pakaian bersama lencana atau lambang serta aksesori pada pakaian tersebut.
“Selain itu dalam pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Pinggiran Subang, kita turut merampas barang dipercayai milik individu pertubuhan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Hussein berkata, majlis tersebut telah dianjurkan oleh individu dari sebuah pertubuhan yang berlangsung di hotel dekat Sungai Buloh.
Katanya, pakaian dirampas itu merupakan pakaian ditempah oleh individu yang hadir pada majlis tersebut dan oleh ahli pertubuhan.
“Semakan juga mendapati pertubuhan tersebut berdaftar dan lambang atau lencana yang digunakan pada pakaian adalah tidak sebagaimana lambang pertubuhan yang didaftarkan.
“Aksesori yang dipakai hampir menyerupai aksesori pakaian beruniform,” jelasnya.
Susulan itu pihaknya menyeru mana-mana individu atau pertubuhan supaya tidak menggunakan pakaian menyerupai pasukan berunifom.
Malah katanya, mereka perlu mengelak menggunakan apa-apa lambang, lencana dan aksesori yang boleh mencemarkan imej pasukan berkenaan dan disalahgunakan untuk perkara tidak sepatutnya. – WILAYAHKU