Pakai Busana Watak Hantu… “Maaf Jika Saya Buat Orang Lain Seram” – AINA ABDUL

Pakai Busana Watak Hantu… “Maaf Jika Saya Buat Orang Lain Seram” – AINA ABDUL

FESYEN yang digayakan penyanyi bersuara mantap, Aina Abdul pada malam  Separuh Akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) menjadi bualan warganet.

Menyampaikan lagu Semalam, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Aina sendiri ini berjaya melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).

BUSANA Aina Abdul rekaan Syamil Fazwan ini jadi bualan di media sosial

“Saya suka bereksperimen dengan fesyen.  Sebenarnya, ada cerita di sebalik busana saya.

“Busana ciptaan indah Syamil Fazwan ini menggambarkan saya sebagai seorang wanita yang sudah lama meninggalkan masa silamnya.

“Bila orang lihat saya dari busana terbabit, saya nak semua nampak saya  sebagai wanita kuat yang datang semula untuk menceritakan apa yang dilalui dahulu.

“Sebenarnya, saya boleh agak orang akan samakan saya dengan watak itu. Saya minta maaf jika saya membuat orang lain seram,” katanya sambil ketawa. 

Aina turut meluahkan rasa syukur apabila lagu ciptaannya terpilih ke AJL35.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur berjaya melayakkan diri ke pentas besar ini. Sebagai seorang penyanyi baru, ini adalah satu penghargaan yang sangat tinggi untuk saya.

“Saya sangat berterima kasih kepada barisan juri dan pihak TV3 yang memberikan peluang kepada Semalam. Sudah tentunya saya tak akan dapat buat semua ini tanpa bantuan pasukan yang menjadi 70 peratus kekuatan saya.

“Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada peminat saya, Ainations. Mereka menjadi nadi dan pembakar semangat untuk saya terus melangkah.

“Insya-Allah, saya akan memberikan sebuah persembahan yang bakal diingati semua di malam AJL35 tahun hadapan. Saya mohon doa semua,” katanya lagi.

Semoga Aina Abdul terus sukses dan segala usaha dipermudahkan. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS