Berita

‘Pak Tam’ lembu sado bernilai RM20,000 jadi korban Aidiladha, diagih kepada mangsa letupan gas Putra Heights

- Diterbit 8 Jun 2025 9:54 AM MYT

JADI tarikan apabila lembu sado bernama Pak Tam bernilai kira-kira RM20,000 jadi korban dalam Program Korban Masjid Putra Height, Subang Jaya, sempena Aidiladha, pada Sabtu.

Lembu sado baka blonde campuran limousine berasal dari Perancis, seberat satu tan ini adalah antara 16 ekor lembu serta satu ekor kambing yang di korbankan pada program ibadah korban itu.

Penganjurnya, Kays Steak & Lobster buat pertama kali membuat ibadah korban pada tahun ini dengan membeli lembu sado itu pada Disember tahun lalu, di sebuah ladang di Teluk Intan Perak.

Menurut Pengarah Urusan Kays Steak & Lobster Muhammad Aizuddin Mohd Khalid, program ini adalah tangggungjawab sosial mereka selain merapatkan hubungan dengan penduduk setempat.

“Pak Tam berusia lebih kurang empat tahun berharga sekitar RM20,000 yang menjadi korban ini adalah inisiatif tangggungjawab sosial korporat kami sebagai rangkaian restoran stik dan udang kara premium bersama komuniti setempat.

“Dalam masa yang sama, program ini juga adalah untuk jalinan ukhwah yang lebih erat bersama qariah Masjid Putra Heights.

“Dengan berat satu tan atau 1000 kilogram, selepas dilapah sebanyak 700 kilogram isi daging segar dapat diagihkan kepada ahli kariah masjid dan orang ramai,” katanya.

Mengulas lanjut , Aizuddin berkata, pihaknya memilih Masjid Putra Height untuk melakukan ibadah korban kerana ia juga adalah cawangan pertama Kays Steak & Lobster adalah di Putra Height dan telah mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada komuniti itu sejak lebih 11 tahun lalu.

Kata beliau, pihaknya juga ingin berkongsi rezeki dengan komuniti setempat apatah lagi Masjid Putra Height sebelum ini menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Height, April lalu.

Daging lembu segar ini turut diagihkan kepada mangsa letupan paip gas di Putra Heights , asnaf, fakir miskin, dan orang ramai sekitar kejiranan menerusi pihak masjid.

Sementara itu, Pengurus merangkap Iman 1 Majid Putra Heights , Ustaz Abdul Hadi Hidzan berkata, pihaknya teruja untuk menyembelih lembu sado kerana ia merupakan pengalaman pertama bagi masjid itu mendapat sumbangan korban lembu sado seberat satu tan.

Tambahnya sebagai persiapan awal, pihak masjid telah mencari sukarelawan yang berpengalaman dalam mengendali serta melapah lembu sado serta melantik penyembelih khas untuk melakukan penyembelihan.

“20 orang sukarelawan diperlukan untuk menumbangkan lembu sado ini tadi, dan kerja melapah juga mengambil masa sekitar satu jam”, katanya.

Selain itu, menurut petugas sukarelawan lembu sado, Zaini Ishak, akui melalui pengalaman berbeza pada program korban kali ini.

“Ia adalah pengalaman pertama buat saya dan memang amat mencabar. Ia memberi kelainan serta pengalaman berbeza walaupun tangan sedikit luka sewaktu menarik tali beramai ramai, tetapi ia adalah pengalaman berharga,” ujarnya.

Bagi Tuan Saiful Azli pula, menurutnya lembu sado ini mempunyai kudrat dan kekuatan yang lebih daripada lembu biasa.

Walaubagaimanapun pengalaman dan cabaran menguruskan lembu sado itu bakal menjadi panduan serta pelajaran untuk dirinya lebih bersedia pada tahun tahun akan datang.

Semangat kerjasama dalam program ini merapatkan ukhuwah sesama penduduk apabila seramai 200 orang sukarelawan terlibat.

Tugas atau peranan sukarelawan ibu telah di bahagi kepada beberapa bahagian iaitu menumbangkan lembu, menyembelih, lapah besar , lapah kecil , memotong, menimbang, membungkus dan agihan.

Pihak Masjid Putra Heights menganggarkan lebih kurang 1600 bungkusan daging diagihkan kepada mangsa kebakaran letupan paip gas , asnaf, fakir miskin, kariah masjid dan sekitar kejiranan.

Selain itu, pihak masjid juga turut mengadakan jamuan makan tengahari kepada hampir seribu qariah masjid serta orang ramai yang hadir. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas