KATA orang, kita tidak dapat memiliki pelangi tanpa hujan dan kita tidak akan tahu seperti apa rasanya manis tanpa merasakan yang pahit.
Jadi, di akhir tahun 2024 ini, terimalah yang pahit dan manis, kedua-duanya menyimpan pengajaran yang membantu kita untuk lebih kuat.
Para selebriti juga tidak terlepas daripada pengalaman pahit dan manis, namun itulah yang mendewasakan mereka.
Kenangan manis ada tanggungjawab
BAGI Trisha Ooi, antara pengalaman manis sepanjang 2024 yang tidak dapat dilupakannya apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Harapan menerusi filem Janna Endoro pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), baru-baru ini.
Menurut Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 25, kenangan itu perlu disusuli dengan rasa tanggungjawab untuk dirinya terus memberikan yang terbaik dalam dunia lakonan.
“Anugerah itu bukan sahaja kenangan manis, tetapi juga penguat semangat untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
“Rasanya kenangan manis ini sampai bila-bila. Ini adalah anugerah pertama saya dalam bidang seni. Saya tak sangka kerana yang lain semua hebat.
“Dalam masa yang sama, ia juga satu tanggungjawab untuk terus lakukan yang terbaik. Terima kasih untuk semua yang terlibat dalam kerjaya saya,” katanya yang hanya mahu fikir positif sahaja.
Ketika segelintir artis sanggup mencipta kontroversi demi dilihat sebagai relevan, namun ia bukan pilihan buat Trisha yang berharap dapat menepis kontroversi.
“Pasal kontroversi, saya akan jaga selagi boleh. Saya nak orang terima baik saya disebabkan lakonan atau bakat saya.
“Berlakon ini satu tanggungjawab dan amanah, jadi orang nak orang kenal bakat atau nama Trisha menerusi karya yang saya terlibat. Bukan kenal sebab kontroversi.
“Kita cari makan dalam bidang ini dan sudah tentu mahu kekal lama. Jadi saya jaga diri selagi mampu untuk elak kontroversi.
“Nak cakap lebih-lebih pun takut, kita tak tahu apa yang akan terjadi pada masa depan.
“Kalau orang lain sukakan kontroversi, bagi saya setiap orang punya pendapat yang berbeza,” tambahnya.
Fadlan Hazim kecewa, terkilan
PELAKON Fadlan Hazim akui tahun 2024 tidak seindah yang diharapkan apabila impiannya untuk berlakon dalam filem aksi tidak kesampaian meskipun telah berusaha ke arah itu.
“Untuk tahun 2024, kalau bercakap pasal filem, saya akui banyak rasa kecewa, terkilan sangat sebab tak diterima. Saya ikuti banyak casting untuk filem aksi tapi semua tak dapat.
“Mungkin saya sudah bersedia fizikal dan mental untuk berlakon filem aksi serta berusaha merealisasikannya, sudah tentu apabila tidak terpilih, saya kecewa.
“Saya belajar beberapa jenis seni mempertahankan diri termasuk mempunyai tali pinggang hitam dalam taekwondo. Terkilan itu sebab tidak dapat tunjukkan bakat kita itu dalam filem berbajet besar yang ditunggu-tunggu ramai,” luahnya.
Namun di sebalik kekecewaan itu, ada kemanisannya. Fadlan mengakui kekecewaan itu menjadikannya lebih matang.
“Kekecewaan sebenarnya buat saya lebih kuat. Memanglah apabila kita bukan menjadi pilihan dalam mana-mana sesi casting, kita akan rasa lemah semangat dan rasa diri tak cukup berbakat.
“Apabila saya renung balik, banyak lagi saya nak kena perbaiki sebab itu tidak dipilih. Alhamdulillah, saya sering memperbaiki kelemahan diri dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Dalam kekecewaan itu, Fadlan akui diterima baik apabila banyak tawaran drama yang datang.
“Banyak drama disiarkan seperti lakonan saya bersama Fasha Sandha dalam Khilaf Yang Tertulis, gandingan saya bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam muzik video Magis dan banyak lagi. Insya-Allah ada lagi yang bakal menyusul.
“Menyentuh tentang kehidupan peribadi pula, kenangan terindah apabila 2024 merupakan tahun pertama hidup sebagai suami isteri. Alhamdulillah, saya dapat rasakan kehidupan ini penuh dengan keberkatan sebab semuanya dah halal,” tambahnya lagi.
Moussa akhiri penantian Sheila Abdull
PESERTA Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11), Sheila Abdull akui pengalaman pahit manis sepanjang tahun 2024 membuatkan dirinya menjadi lebih matang.
“Tahun ini saya paling sedih apabila kehilangan ibu mentua, Mimi Zuriati Badli, yang meninggal dunia akibat kanser rahim, pada 24 Mei lalu.
“Sejak berkahwin, saya anggap arwah seperti ibu sendiri. Sedih dan pedihnya hati apabila arwah pergi tinggalkan kami semua. Sudahlah saya sedang sarat mengandung masa itu. Sehingga ke hari ini, rasa hidup ini tak lengkap.
“Kalau arwah ada ketika saya masuk GV11 ini, dialah antara orang kuat yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk menantunya ini,” katanya.
Menurut pemilik nama sebenar Nursheila Abdullah, 36, yang juga isteri kepada bekas anggota kumpulan Drama Band, Ammar Habir, 2024 turut memberi banyak kenangan manis buat dirinya.
“Selang seminggu arwah ibu mentua pergi, saya dikurniakan bayi lelaki. Bayi yang dinanti-nantikan dalam keluarga, sebab sebelum ini kedua-dua anak perempuan. Adik beradik, anak-anak saudara pun semua perempuan.
“Jadi apabila lahirnya Moussa El Kazeem, dia jadi buah hati semua oranglah. Kiranya Moussa akhiri penantian kami,” ujarnya.
Selain itu, menyertai GV11 juga satu kenangan manis buat Sheila yang memberikan persembahan terbaik setiap minggu.
“Dipanggil untuk sertai GV setelah beberapa tahun tak dapat sertai atas beberapa faktor, juga suatu kenangan manis.
“Apabila dapat nyanyi balik seperti ada semangat baharu. Dulu, saya muda lagi. Pengalaman tak banyak. Kali ini lebih semangat dan lebih fokus, mungkin faktor usia serta lebih matang,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]