KECOH baru-baru ini Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan kerajaan pada 2 Januari lalu dikatakan tidak selamat kerana maklumat peribadi rakyat mudah diakses oleh scammer.
Dakwaan yang tidak berasas itu timbul apabila banyak video fitnah yang disebarkan oleh golongan tidak bertanggungjawab di laman sosial sekali gus menyebabkan orang ramai bertambah panik.
Realitinya rakyat tidak perlu gusar kerana apa sahaja maklumat yang dikumpul menerusi sistem PADU dikawal selia oleh beberapa akta sedia ada antaranya Akta Omnibus yang mampu menghalang daripada ia disalahgunakan.
Dari sisi yang lain, sistem ini memberi banyak manfaat kepada rakyat kerana kemudahan yang diberikan oleh kerajaan bakal dinikmati sepenuhnya oleh golongan yang berhak.
Inisiatif tersebut juga mampu mengurangkan ketirisan dan perbelanjaan subsidi yang ditanggung kerajaan melebihi RM80 bilion dan juga selaras dengan pendekatan dan transformasi digital.
Ia turut memberi jaminan manfaat kemudahan tersebut dapat dinikmati mereka yang berhak menerimanya dan dalam masa yang sama mengurangkan kos serta ketirisan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbelanjaan kerajaan dalam semua bidang bagi membantu rakyat miskin di desa, pedalaman, nelayan dan petani mencecah RM22 bilion sedangkan kajian menyatakan penyaluran subsidi tidak sampai kepada kumpulan sasar.
“Bantuan diberikan kerajaan dikira dengan nilai sekarang mencecah RM80 bilion dan tidak mungkin Malaysia bertahan uruskan kewangan belanjawan jika hal ini tidak dapat diperbaiki,” jelasnya.
Beliau berkata, subsidi yang diberikan sebelum ini turut dinikmati hampir 3.5 juta warga asing dengan nilai perbelanjaan mencecah RM10 bilion.
“Istilah subsidi ialah bantuan kepada orang memerlukan, tetapi amalan Malaysia tahun demi tahun tidak pernah tukar yang mana ia diberikan kepada semua rakyat termasuk golongan maha kaya yang menggunakan elektrik lebih tinggi,” ujar beliau.
Jadi, untuk tahun ini dilaksanakan penyasaran subsidi elektrik dan hasilnya ikut unjuran, maka penjimatan lebih RM4 bilion kerana ia tidak diberikan kepada golongan maha kaya dan warga asing.
Diharapkan rakyat memahami lebih teliti sebelum menyimpulkan sebarang pendapat tentang PADU kerana ia hanya satu kaedah pengumpulan maklumat peribadi untuk memudahkan semua pihak.
Bersamalah kita memudahkan penambahbaikan ini dengan melakukan pendaftaran sehingga 31 Mac depan bagi mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat. – WILAYAHKU