USAHA Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan Program Teh Hijau di perkarangan Stadium Bola Sepak, Cheras disambut baik oleh warga Wilayah Persekutuan.
Antara aktiviti yang dinanti-nantikan adalah Jualan Rahmah yang menyaksikan barangan keperluan asas dijual dengan harga murah berbanding pasaran.
Tinjauan Wilayahku mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan ayam pada harga RM10 bagi satu pek seberat 1.1 kilogram (kg) yang siap dibersihkan dan dipotong.
Menurut salah seorang peniaga, Shahril dia seawal pukul 9 pagi lagi khemah jualannya sudah mula dibanjiri pembeli yang ingin menikmati potongan harga rendah tersebut.
“Alhamdulillah. Saya bawa 1,000 paket ayam dan setakat pukul 4 petang, 600 paket telah pun terjual,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Stor Giant Bukit Antarabangsa, Ahmad Azwan Mat berkata antara barangan keperluan asas yang mendapat sambutan adalah beras, minyak masak dan telur.
“Kalau di pasaran harga 30 biji telur adalah RM19.50 tapi istimewa di program ini ia dijual dengan harga RM12.90 sahaja,” katanya yang turut berharap program seumpama ini akan terus mendapat sambutan orang ramai.
Terdahulu, Program Teh Hijau Kuala Lumpur anjuran DBKL akan diteruskan pada minggu kedua setiap bulan pada hari Sabtu sebagai acara tahunan.
Selain perkongsian maklumat berhubung perkhidmatan jabatan di DBKL, pelbagai aktiviti menarik diadakan Pameran Kebun Kejiranan Local Agenda 21 Kuala Lumpur, Cabutan Bertuah, Pameran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pertandingan Street Soccer, Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara, Kaunter Pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan pelbagai lagi. – WILAYAHKU