Berita

Ops Tiris 3.0 catat nilai rampasan hampir RM85 juta

- Diterbit 12 November 2024 11:36 PM MYT

TUMPUAN Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kepada aspek penguatkuasaan khususnya menerusi Ops Tiris 3.0 yang menampakkan kejayaan apabila telah menjalankan 36,380 pemeriksaan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata daripada jumlah itu, Ops Tiris 3.0 yang bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Oktober 2024 sebanyak 2,388 kes telah dihasilkan

“Jumlah nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM84.61 juta dengan 577 orang individu telah ditangkap sepanjang tempoh pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 ini melibatkan warga tempatan, warga asing dan pemastautin tetap,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan RUU Perbekalan bagi peringkat kementeriannya di parlimen hari ini.

Jelas Armizan, tumpuan terhadap penguatkuasaan diambil pihaknya setelah engambil kira pelaksanaan beberapa keputusan penting Kerajaan seperti penyasaran subsidi diesel.

“Punca kuasa perundangan utama bagi KPDN dalam aspek penguatkuasaan bagi menangani isu penyelewengan barangan bersubsidi adalah di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan perundangan subsidiarinya serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,”katanya.

Ujar beliau, pemerkasaan penguatkuasaan ini melibatkan penambahbaikan dan perluasan perluasan skop penguatkuasaan kepada barang-barang kawalan selain diesel.

“KPDN juga menjalankan pengukuhan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan di sempadan negara dan penempatan berkala pegawai penguatkuasa KPDN di lapan lokasi pintu masuk sempadan negara di negeri Perlis, Kedah, Perak, dan Kelantan.

“Selain itu KPDN turut melaksanakan penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kes Penyerahan Agensi daripada agensi-agensi penguatkuasaan lain; dan juga pelaksanaan pemantauan terhadap pemborong dan peruncit di sempadan,” katanya.

Menurut Armizan, gerak kerja penguatkuasaan dilaksanakan melalui Ops Tiris yang telah bermula pada bulan Mac 2023.

“Berdasarkan Statistik OPS TIRIS 3.0 (Januari hingga 19 Oktober 2024), KPDN telah melakukan 30,634 pemeriksaan dan menghasilkan sebanyak 1,561 kes melibatkan penyelewengan diesel.

“Statistik keseluruhan meliputi serahan kes melibatkan agensi penguatkuasaan lain merekodkan jumlah rampasan diesel bersubsidi adalah sebanyak 13.8 juta liter yang dianggarkan bernilai lebih RM31 juta. Selain itu, Ops Tiris 3.0 setakat Januari hingga Oktober 2024, KPDN telah membuka sebanyak enam kertas siasatan di bawah Akta AMLATFPUAA,”katanya.

Armizan berkata pihak KPDN turut memperkasa kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain mengambil kira bidang kuasa perundangan yang berkaitan.

“Operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain agensi telah dilaksanakan melalui OPS TIRIS,”katanya.

Menyentuh tentang kawalan dan penguatkuasaan di kawasan sempadan, Armizan memaklumkan bahawa bidang kuasa penguatkuasaan adalah melibatkan beberapa jabatan penguat kuasa lain.

“Antaranya adalah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam dan Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Namun begitu, bermula 20 Januari 2024, KPDN telah menempatkan pegawai penguat kuasa secara pentadbiran di lapan pintu masuk,”katanya.

Sementara itu, Armizan berkata KPDN juga melaksanakan pembatalan dan penggantungan lesen barang kawalan berjadual melibatkan penjualan diesel pada peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

“Pada tahun 2023, KPDN telah mengambil tindakan kepada tiga syarikat kerana pelbagai kesalahan.

“Pada masa yang sama, penguatkuasaan dan pemantauan ketat Permit Barang Kawalan Berjadual adalah merupakan salah satu cara mengekang aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas