MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan pihaknya berjaya merampas sebanyak 13.8 juta liter diesel dalam Ops Tiris 3.0 yang dilaksanakan dari Januari hingga 19 Oktober lalu.
Menurutnya, berdasarkan staitik Ops Tiris 3.0, penguatkuasa KPDN telah melakukan 30,634 pemeriksaan dan menghasilkan sebanyak 1,561 kes melibatkan penyelewengan diesel.
“Statistik keseluruhan meliputi serahan kes melibatkan agensi penguatkuasaan lain merekodkan jumlah rampasan diesel bersubsidi adalah sebanyak 13.8 juta liter yang dianggarkan bernilai lebih RM31 juta.
” Selain itu, setakat Januari hingga Oktober 2024, KPDN telah membuka sebanyak enam kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjwab soalan Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) pada sesi pertanyaan menteri di parlimen hari ini.
Menurut Armizan, KPDN sentiasa komited untuk menangani isu penyelewangan bahan api diesel bersubsidi sejajar dengan fokus Kerajaan untuk membanteras sebarang bentuk ketirisan subsidi seperti yang ditegaskan Perdana Menteri.
Katanya, KPDN telah meletakkan ketangkasan penguatkuasaan sebagai salah satu daripada agenda fokus bagi tahun 2024 dan ia merupakpan strategi utama yang dilaksanakan meliputi aspek (1) Penguatkuasaan (2) Pengurusan Risiko dan (3) Partisipasi Massa.
“Punca kuasa perundangan utama bagi KPDN dalam aspek penguatkuasaan bagi menangani isu penyelewengan barangan bersubsidi adalah dibawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan perundangan subsidiarinya serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 200,” katanya.
Armizan berkata pihaknya turut akan memperkasa kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain serta mengambil kira bidang kuasa perundangan yang berkaitan.
“Operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain agensi telah dilaksanakan melalui OPS TIRIS,” katanya.
Menyentuh tentang kawalan dan penguatkuasaan di kawasan sempadan, Armizan menyatakan bahawa bidang kuasa penguatkuasaan adalah melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam dan Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Namun begitu, bermula 20 Januari 2024, KPDN telah menempatkan pegawai penguat kuasa secara pentadbiran di lapan pintu masuk.
“Selain itu, KPDN juga melaksanakan pembatalan dan penggantungan lesen barang kawalan berjadual melibatkan penjualan diesel pada peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.
“Pada tahun 2023, KPDN telah mengambil tinfskan kepada tiga syarikat kerana pelbagai kesalahan.
“Pada masa yang sama, penguatkuasaan dan pemantauan ketat Permit Barang Kawalan Berjadual adalah merupakan salah satu cara mengekang aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi,” katanya. – WILAYAHKU