Berita

Ops Bersepadu dilaksanakan enam hari sempena Tahun Baru Cina

- Diterbit 27 Januari 2025 1:26 PM MYT

OPS Bersepadu akan dilaksanakan selama enam hari bermula 28 Januari hingga 2 Februari ini bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena perayaan Tahun Baru Cina 2025.

Ia dilaksanakan secara bersama membabitkan agensi penguatkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata bagi meminimumkan risiko kemalangan jalan raya, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mewartakan penurunan had laju daripada 90km/j kepada 80km/j di semua Jalan Persekutuan sepanjang tempoh berkenaan.

“Kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang tidak kritikal akan dihentikan sementara agar tidak mengganggu aliran trafik sepanjang tempoh itu.

“Kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang dengan sebaiknya.

“Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan agar tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi yang dituju,” kata Alexander dalam satu kenyataan.

Alexander juga, berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada Syarikat Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) untuk menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Januari hingga 3 Februari 2025. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas