BANK Negara Malaysia (BNM) melalui mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi 2025 hari ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.
Menurut BNM, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan.
“MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” jelas BNM dalam kenyataan pada Rabu.
BNM menambah, bagi ekonomi Malaysia, pertumbuhan keseluruhan bagi 2024 berada pada kadar yang dijangkakan.
Katanya, pada masa hadapan kekukuhan kegiatan ekonomi dijangka berterusan pada tahun ini didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.
“Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam, akan menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Aktiviti pelaburan yang mantap akan diteruskan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional,” katanya.
BNM memberitahu, pelaburan ini yang disokong oleh modal import yang lebih tinggi akan meningkatkan eksport dan mengembangkan keupayaan pengeluaran ekonomi.
Katanya, eksport dijangka disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global, pertumbuhan eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus meningkat dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.
Jelas BNM, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan daripada kelembapan ekonomi rakan-rakan dagangan utama berikutan risiko sekatan perdagangan dan pelaburan yang ketara serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
“Sementara itu, pertumbuhan mungkin menjadi lebih tinggi daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas,” katanya.
Mengenai inflasi pula katanya, inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata sebanyak 1.8% pada 2024.
Jelasnya, pada tahun ini, inflasi dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.
“Harga komoditi global dijangka terus menunjukkan trend menurun, menyumbang kepada keadaan kos yang sederhana pada jangka masa terdekat.
“Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang diumumkan baru-baru ini terhadap inflasi dijangka terkawal.
“Risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri dan harga komoditi global serta perkembangan pasaran kewangan,” katanya.
Prestasi ringgit pula katanya, terus didorong terutamanya oleh faktor luaran.
Malah menurut BNM, perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara Malaysia dengan ekonomi-ekonomi maju adalah positif untuk ringgit.
“Walaupun pasaran kewangan mungkin menghadapi tempoh volatiliti disebabkan oleh ketidakpastian dasar-dasar global, prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit,” tambahnya. – WILAYAHKU