Berita

Operasi tren di Pantai Timur terjejas, KTMB aktifkan bilik gerakan banjir

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 November 2024 10:45 AM MYT

PERKHIDMATAN tren KTM Intercity di laluan Pantai Timur terjejas susulan keadaan banjir dan tanah mendap di beberapa kawasan menjejaskan operasi tren penumpang.

Menerusi kenyataan media Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kawasan yang dikenal pasti tidak selamat untuk perkhidmatan kereta api akibat paras air melebihi tahap rel di KM493 – 490.85 iaitu antara Pasir Mas dan Tanah Merah.

Perkhidmatan KTM Intercity untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan tren Ekspres Rakyat Timuran No. 27 bagi laluan JB Sentral-Tumpat turut dibatalkan.

Sementara itu perkhidmatan tren lain yang turut terjejas ialah Ekspres Rakyat Timuran No. 26 dan No. 27 bagi laluan laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral dan Shuttle Timuran laluan Kuala Lipis – Gua Musang – Tumpat akibat ditenggelami banjir.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha memaklumkan perkhidmatan tren terpaksa dibatalkan demi keselamatan penumpang.

“Kami akan memaklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa.

“Bagi penumpang yang terkesan dan tidak meneruskan perjalanan, KTMB akan memberikan pemulangan tambang penuh.

“Pemakluman mengenai penutupan laluan serta maklumat terkini akan disalurkan secara berterusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan hebahan di media sosial rasmi KTMB,” katanya.

Sebagai langkah responsif, KTMB telah mengaktifkan bilik gerakan banjir serta merta di sektor Pantai Timur untuk memantau pergerakan tren serta memberikan kemaskini situasi yang berlaku.

Langkah persediaan KTMB bukan sahaja tertumpu kepada operasi pergerakan tren ketika banjir, tetapi turut melibatkan pelan bantuan kepada mangsa banjir di stesen-stesen KTMB.

Usaha ini bertujuan memastikan bantuan dapat disalurkan secara sistematik, pantas dan berkesan.

“KTMB menjalankan pemantauan risiko banjir dengan merujuk laporan harian daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Keutamaan turut diberikan kepada lokasi-lokasi yang kerap terjejas akibat banjir,” dalam kenyataan rasmi KTMB.

Selain itu, KTMB terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan seperti Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memastikan tindakan penyelamatan dan pengurusan insiden dapat dilaksanakan dengan efisien.

KTMB juga telah menggerakkan aset-aset kritikal seperti troli rel untuk memantau paras air di sepanjang laluan utama dan lokasi-lokasi yang berisiko tanah runtuh.

Pelbagai peralatan tambahan untuk kegunaan semasa banjir juga telah disediakan, termasuk peralatan keselamatan, komunikasi, dan bantuan kecemasan.

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200, melayari laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my, atau mengikuti saluran media sosial rasmi KTMB untuk informasi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas