POLIS menggempur sebuah hotel di Jalan Pudu, Kuala Lumpur dan menahan tujuh wanita warga asing yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.
Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pukul 6.30 petang semalam menerusi Op Noda KL Strike Force.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tujuh yang ditahan itu terdiri daripada lima warga Indonesia dan masing-masing seorang warga Thailand dan Vietnam, berusia 25 sehingga 35 tahun.
“Dalam serbuan itu, kita merampas 15 keping kondom, tujuh helai tuala mandi, 10 telefon bimbit selain tiga botol gel pelincir.
“Siasatan dijalankan mengiktu Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Rusdi memberitahu, siasatan awal mendapati, semua wanita warga asing itu mengaku bekerja sebagai pelacur.
Katanya, pelanggan perlu melayari laman web untuk memilih pelacur dan kemudian menghubungi nombor telefon tertentu untuk membuat tempahan.
“Kemudian pelanggan akan diberikan nombor bilik dan bayaran dibuat kepada pelacur setelah selesai perkhidmatan seks.
“Pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks perlu membayar RM250 untuk setiap satu perkhidmatan. Semua pelacur tinggal di dalam bilik hotel berkenaan,” katanya.
Beliau menambah, dengan setiap bayaran RM250 itu, pelacur akan dapat RM120 manakala bakinya diberikan kepada penjaga dan kegiatan pelacuran tersebut beroperasi dari pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi setiap hari.
Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut. – WILAYAHKU