LEBIH 200 kilang yang beroperasi sekitar Sentul patuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak operasi pemantauan dilakukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bermula minggu lepas hingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata, tiada tindakan kompaun dikeluarkan dalam tempoh tersebut, walaupun ada antara kilang itu sudah diperiksa lebih daripada sekali.
“Sejak minggu lepas, kita sudah memeriksa operasi kilang dengan 10 kilang diperiksa setiap hari dan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Mereka (majikan kilang) mempunyai surat kebenaran beroperasi dan bilangan pekerja yang hadir bertugas juga tidak melebihi 60 peratus,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pematuhan SOP PKP di sebuah kilang membekal peralatan jentera berat di Segambut, hari ini.
Beliau bagaimanapun memberi amaran kepada majikan, sekiranya didapati melanggar SOP PKP, mereka akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
Beh berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan daripada orang ramai mengenai kilang yang melanggar SOP PKP, sebaliknya kebanyakan aduan yang diterima adalah membabitkan operasi premis serbaneka yang menjual barangan bukan dalam kategori perkhidmatan perlu.
Katanya, setakat ini pihaknya mengeluarkan satu kompaun terhadap sebuah kedai serbaneka yang cuba mengaburi perniagaan yang dijalankan di Sentul, kerana menjual minuman keras.
Terdahulu, Beh turut menjalankan pemantauan SOP PKP di dua kilang sekitar Segambut dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. – BERNAMA