KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) menetapkan tujuh aspek pengoperasian institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh yang bermula esok.
KPT dalam kenyataan memaklumkan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka tidak dibenarkan selain keberadaan pelajar yang meminta pelajar berkeperluan yang berada di kampus untuk terus kekal di institusi pengajian masing-masing.
“Pelajar berkeperluan yang masih belum pulang ke kampus diminta untuk menangguhkan pergerakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
“Pelajar perlu kekal berada di lokaliti masing-masing dan meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian. Pelajar perlu berada dalam kampus dan hanya dibenarkan keluar dengan kebenaran pengurusan IPT dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” menurut kenyataan itu.
Aktiviti penyelidikan yang melibatkan kemudahan makmal dan peralatan khas yang berkeperluan sahaja dan secara individu, adalah dibenarkan dengan kebenaran ketua jabatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, di samping pihak IPT bertanggungjawab memastikan SOP dipatuhi oleh semua pelajar berkenaan.
Pelajar luar kampus yang terlibat dengan aktiviti penyelidikan dan memerlukan kemudahan makmal serta peralatan khas perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus daripada IPT masing-masing.
Mengenai kehadiran staf akademik dan bukan akademik, KPT berkata 100 peratus akan Bekerja Dari Rumah (BDR), namun kehadiran ke pejabat hanya dibenarkan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR.
Kenyataan itu memaklumkan kehadiran staf akademik dan bukan akademik semua IPT tidak melebihi 20 peratus, penggiliran tugas empat jam dan kedua-duanya tidak dibenarkan hadir ke pejabat kecuali untuk perkhidmatan perlu dengan disertai dokumen arahan rasmi daripada IPT masing-masing dan pas pekerja.
Menurutnya lagi, semua mesyuarat dilaksanakan secara dalam talian melalui medium selamat dan terjamin kerahsiaan serta tiada perjumpaan atau aktiviti secara fizikal.
Selain aktiviti pelajar termasuk kelab, persatuan dan kokurikulum yang tidak dibenarkan dilaksana secara bersemuka dan berkumpulan, KPT memaklumkan semua aktiviti sosial, keagamaan, ekonomi, sukan dan rekreasi secara berkumpulan juga dilarang.
“Aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan secara individu di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal terhad kepada joging dan senaman sahaja dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.
“(Di samping) pelaksanaan program dan aktiviti pelajar secara dalam talian atau platform digital yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.
KPT menyatakan perkhidmatan perlu di kampus seperti bank, farmasi, kedai runcit, dobi dan kafeteria dibenar beroperasi mengikut SOP manakala kafeteria, penyediaan makanan adalah secara berbungkus sahaja dan penggunaan fasiliti guna sama di asrama dan kampus perlu dipantau.
Mengenai peperiksaan antarabangsa dan badan profesional pula, KPT memaklumkan pelajar dibenarkan menduduki peperiksaan itu tertakluk kepada pematuhan SOP ketat dengan penjadualan peperiksaan tersebut diuruskan sepenuhnya oleh organisasi profesional dan antarabangsa.
“IPT hanya membuat penyelarasan dari segi kemudahan fasiliti sahaja dan sebarang perubahan dari segi penjadualan adalah tertakluk kepada organisasi tersebut,” menurut KPT.
Selain itu, bagi kemasukan pelajar antarabangsa pula adalah tertakluk kepada SOP sedia ada yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dari semasa ke semasa.
Pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian IPT melalui Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03- 8870 6777/6949/ 6623/ 6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing. – BERNAMA