SEBANYAK enam gerai dan penjaja tanpa lesen telah dikenakan tindakan kompaun dalam Operasi Gasak baru-baru ini.
Operasi itu melibatkan agensi sahabat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen WPKL (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) WPKL dan jabatan dalaman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Operasi Gasak bertujuan membanteras aktiviti perniagaan dan penjajaan tanpa lesen dan tidak memenuhi syarat lesen.
Dalam operasi itu juga, 12 tindakan sitaan penjaja warga asing turut dilakukan termasuk penutup lima gerai secara serta merta dan dua kes penundaan ‘food truck’ dikendalikan warga asing.
JIM juga telah menahan 35 warga asing kerana kesalahan tidak memiliki dokumen yang sah atau menyalahgunakan permit kerja.
Sementara itu, KPDN telah mengeluarkan itga kompaun terhadap gerai yang disyaki melanggar peraturan perdagangan serta melibatkan isu hak cipta dan barangan tiruan dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Penjaja yang melanggar syarat lesen dikenakan tindakan penguatkuasaan menerusi peruntukan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.
Operasi Gasak akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya yang bersih, teratur, selamat, dan kondusif untuk semua.