Berita

Op Selamat 21 catat penurunan kemalangan 10 peratus

KREDIT foto: BERNAMA
- Diterbit 16 Februari 2024 7:25 PM MYT

OP Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina yang dijalankan pada 8 hingga 13 Februari lepas mencatatkan penurunan kes kemalangan sebanyak 10 peratus atau 906 kes berbanding tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata sebanyak  8,501 kes kemalangan direkodkan sepanjang Op Selamat 21 berbanding 9,407 kes pada 2023.

Beliau berkata kes kemalangan maut juga berkurang satu kes iaitu 86 kes dengan jumlah kematian sebanyak 91 orang berbanding 87 kes dengan 100 orang yang dicatatkan pada Op Selamat 19.

“Penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan kematian tertinggi dengan 67 kematian atau 74 peratus iaitu meningkat sebanyak 11 kematian berbanding Op Selamat 19 dengan 56 kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini hari ini.

Mohd Azman berkata antara punca utama kemalangan adalah cara pemanduan dengan mengekor rapat kenderaan lain di hadapan, diikuti akibat tidak peka dan prihatin hingga terbabas sendiri dan ketiga tertinggi adalah tidak menyedari kenderaan atau objek lain di hadapan atau di sebelah kenderaan.

Beliau berkata sepanjang Op Selamat 21, sebanyak 10,715 kenderaan terlibat dalam kemalangan iaitu berkurang sebanyak 1,699 kenderaan berbanding 12,414 kenderaan yang direkodkan pada Op Selamat 19.

Sementara itu, beliau berkata walaupun kes kemalangan mencatatkan penurunan, jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang enam hari Op Selamat 21 itu meningkat iaitu sebanyak 201,840 saman berbanding 103,114 saman semasa OP Selamat 19 tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 98.726 peratus.

Menurutnya peningkatan jumlah saman itu menunjukkan bahawa kesedaran pengguna jalan raya tentang peraturan dan undang-undang lalu lintas masih rendah.

“Ini juga kerana pihak JSPT memberi tumpuan kepada penugasan di lokasi blackspot (kawasan kerap berlaku kemalangan) dan hasilnya jumlah kes kemalangan maut di lokasi tersebut pada Op Selamat kali ini dapat diturunkan,” katanya.

Selain itu, katanya sebanyak 45,727 rondaan telah dijalankan ke atas rumah dan premis yang ditinggalkan melibatkan anggota unit kereta peronda (MPV) sebanyak 22,335, unit rondaan bermotosikal (URB) (10,673), rondaan elemen balai (11,239)  dan lain-lain rondaan (1,480). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas