SERAMAI 13 lelaki warga tempatan berusia di antara 20 hingga 74 tahun ditahan menerusi Op Pedo kerana disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka ditahan dalam serbuan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.
Menurut beliau, suspek akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan operasi bersepadu Op Pedo semalam dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap suspek yang disyaki melakukan kesalahan seksual itu.
“Objektif operasi bersepadu itu bertujuan menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak melibatkan aktiviti dalam talian khususnya di platform media sosial.
“Ia juga bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa, masyarakat serta penyedia platform tentang tanggungjawab melindungi dan menjaga keselamatan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Razarudin berkata, hasil pemeriksaan terhadap peranti digunakan di premis kediaman kesemua suspek telah menemukan anggaran 40,000 CSAM dan bahan pornografi dewasa.
Katanya, rampasan melibatkan tujuh unit set komputer, seunit komputer riba, 11 telefon bimbit dan 16 modem serta router.
Jelas beliau, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka atas kesalahan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan kesalahan memiliki bahan lucah di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak dinasihatkan agar meningkatkan kawalan kendiri, menjaga batas moral dan adab bersosial di dalam talian bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah serta melaporkan sebarang penyalahgunaan rangkaian kepada pihak berkuasa.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang melakukan dan melibatkan diri dalam aktiviti jenayah,” katanya. – WILAYAHKU