Berita

Olimpik Paris 2024 labuh tirai, giliran LA28 lakar sejarah

AKSI gimik penutup Sukan Olimpik Paris 2024 yang dilakukan oleh Tom Cruise
- Diterbit 16 Ogos 2024 4:26 PM MYT

TEMASYA Sukan Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang awal pagi Isnin di Malaysia (12 Ogos) selepas 19 hari mempamerkan aksi sukan bertaraf dunia sebelum menyerahkan baton kepada bandar tuan rumah 2028 – Los Angeles (LA28) di Amerika Syarikat.

Upacara penutupan semakin meriah apabila bintang Hollywood, Tom Cruise melakukan aksi mengagumkan dengan melompat dari bumbung Stade de France diiringi dengan persembahan penyanyi, Billie Eilish dan rapper, Snoop Dogg yang mewakili tuan rumah seterusnya.

Olimpik Paris 2024, yang secara rasmi bermula pada 26 Julai itu menyaksikan kira-kira 10,500 atlet daripada lebih 206 kontinjen bersaing dalam 329 acara daripada 32 jenis sukan di latar belakang mercu tanda kota Paris yang ikonik.

Temasya edisi ke-33 itu turut mencipta legasi baharu dengan 125 rekod Olimpik dan 32 rekod dunia dipecahkan sejak pertandingan bermula pada 24 Julai, dua hari sebelum upacara pembukaan.

Pemain golf wanita profesional negara, Ashley Lau membawa Jalur Gemilang mengetuai kontinjen Malaysia bersama 10 ahli termasuk Timbalan Ketua Kontinjen, Datuk Nicol David, atlet terjun, Nur Dhabitah Sabri dan Bertrand Rhodict Lises.

Selepas ucapan Presiden Jawatankuasa Penganjur Paris 2024, Tony Estanguet dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, bendera Olimpik diturunkan.

Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo menyerahkan bendera kepada Bach yang kemudian menyerahkannya kepada Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass.

Bandar California itu mengambil alih pentas utama untuk mempersembahkan apa yang mereka tawarkan apabila Sukan Olimpik diadakan pada 2028.

LA28 kemudian menghiburkan penonton di Paris melalui penstriman persembahan penuh aksi dalam segmen video dengan Tom Cruise melompat dari kapal terbang untuk membawa bendera Olimpik ke mercu tanda Hollywood.

Olimpik Paris 2024 ditutup secara rasmi selepas Bach mengisytiharkan sukan ditutup dan disusuli dengan pertunjukan bunga api yang menakjubkan. Paris seterusnya akan menganjurkan Sukan Paralimpik dari 28 Ogos hingga 8 September ini.

LA28 akan menjadi kali ketiga Sukan Olimpik diadakan di Los Angeles selepas edisi 1932 dan 1984. Amerika Syarikat juga pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik di St. Louis 1904 dan Atlanta 1996.

Amerika Syarikat mengungguli Olimpik kali ini dengan mengumpul 40 emas, 44 perak dan 42 gangsa diikuti China (40-27-24), Jepun (20-12-13) dan Australia (18-19-16).

Malaysia dengan barisan seramai 26 orang atlet memperoleh dua gangsa menerusi beregu badminton lelaki, Aaron Chia- Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia serta mengakhiri kempen Paris 2024 di kedudukan ke-80. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas