KEHIDUPAN daif Nor Aliff Mohd Nor yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal mendapat perhatian Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkesempatan turun padang bagi melihat serta menyampaikan bantuan kepada Nor Aliff di Perumahan Awam (PA) Sri Johor, Kuala Lumpur.
Selain sumbangan dalam bentuk wang tunai, kediaman yang dihuni bersama dua orang lagi adik-beradiknya sejak kematian ibu dan bapa mereka turut dibersihkan dalam satu aktiviti gotong-royong.
“Bermula bulan ini Nor Aliff akan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 selain sedikit bantuan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), sebuah katil dan juga rawatan di hospital.
“Untuk makluman penerima turut menghidap penyakit kronik lain seperti jantung, strok dan gout,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi Penyerahan Bantuan Khas dan Gotong-Royong di sini hari ini.
Tambah beliau inisitif yang dilakukan oleh YWP adalah selari dengan konsep Malaysia Madani yang mementingkan nilai murni dan ehsan dalam kehidupan harian seterusnya tidak meninggalkan golongan miskin dan daif dalam kepesatan pembangunan negara.
“Kita juga sangat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan serta menoktahkan kemiskinan bandar seperti hasrat Perdana Menteri,” ujar beliau.
Turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Setiausaha Politik kepada Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Lembaga Pengarah SPWP, Datuk Rizalman Mokhtar; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP dan Majlis Perwakilan Penduduk (MP) Bandar Tun Razak.
Terdahulu, Syarikat Tahap Warisan Sdn Bhd turut menaja aktiviti gotong-royong yang dibantu kakitangan YWP, wakil persatuan penduduk dan sukarelawan Privo.
Dalam perkembangan lain, Azizah turut meluangkan masa beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di Pasar Sungai Besi, Pasar Pagi Alam Damai dan Pasar Pagi Jalan Jujur selain mengagihkan kalendar 2024 sebanyak 500 keping. – WILAYAHKU