
OIC desak operasi ketenteraan Israel dihentikan serta-merta
PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) mendesak operasi ketenteraan di Gaza dihentikan serta-merta.
OIC menerusi kenyataannya turut menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyiasat jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan Israel di wilayah Palestin.
Sidang kemuncak tergempar OIC yang bersidang pada Sabtu turut menolak alasan rejim Zionis Israel bahawa serangan terhadap rakyat Palestin sebagai mempertahan diri.
OIC turut mengecam “pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza, jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai biadab dan tidak berperikemanusiaan,” kata kenyataan OIC.
Sidang tergempar itu turut menjadi medan pemimpin Islam dan Arab mengutuk tindakan tidak bertamadun Israel di Gaza menerusi ucapan mereka pada sidang kemuncak tergempar itu.
Sidang yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz di Riyadh, dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.- WILAYAHKU