Berita

Obesiti kalangan penjawat awam

Gambar hiasan
- Diterbit 9 Ogos 2024 4:10 PM MYT

AKTIVITI sihat perlu dirancakkan dalam perkhidmatan awam sama ada di peringkat agensi, kementerian mahupun perseorangan memandangkan kebanyakan penjawat awam menghadapi masalah obesiti.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata aktiviti itu perlu kerana masalah obesiti dalam kalangan rakyat melebihi 50 peratus dan kebanyakannya melibatkan penjawat awam di Putrajaya.

“Jadi, penting untuk mereka ini terbabit dalam aktiviti sihat termasuk program larian sebagai permulaan menggalakkan mereka hidup sihat,” katanya selepas Program Hari Bebas Kenderaan (CFD) Putrajaya dan Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) XIX 2024 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Sabtu.

Sementara itu, Program CFD kembali dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) pada minggu keempat setiap bulan selepas kali terakhir penganjuran pada 2019.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, program itu dilaksanakan bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk menjalankan pelbagai aktiviti riadah sihat seperti berjalan kaki dan menaiki basikal.

“Sepanjang tempoh CFD berlangsung, penutupan penuh akan dibuat di Dataran Putrajaya iaitu bermula dari persimpangan Menara Prisma ke persimpangan Menara Tulus.

“Penutupan jalan ini dibuat kepada kenderaan bermotor bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk berjalan kaki, berbasikal mahupun pelbagai aktiviti sihat,” ujarnya.

Dalam masa sama, Fadlun memaklumkan program yang bakal dianjurkan pada setiap bulan oleh pihaknya itu turut membuka peluang kepada agensi luar untuk bekerjasama dari segi pengisian program, di mana pada Sabtu lalu, CFD turut dimeriahkan dengan Program Larian MAPPA XIX 2024 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Antara aktiviti sampingan yang diadakan bagi penganjuran kali ini adalah walkathon, street soccer, jualan rahmah dan pemeriksaan kesihatan.

“Gerai-gerai yang menawarkan jualan buah-buahan dari FAMA dan makanan serta minuman juga turut memeriahkan suasana,” ujarnya.

Beliau berkata CFD dijangka menarik pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk datang menikmati hari tanpa kenderaan di pusat pentadbiran negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas