KES pembunuhan yang berlaku akhir-akhir ini begitu menggemparkan negara sehingga rakyat membayangkan situasi sekarang tidak selamat dan dikelilingi oleh individu yang berniat jahat.
Mengulas mengenainya, Pakar Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir mengakui masyarakat kini semakin tidak gentar dengan undang-undang malah ada yang lalai sehingga terjebak dengan jenayah tidak sepatutnya.
“Walaupun undang-undang negara sudah cukup kuat, namun ada pihak merasakan boleh terlepas dengan hukuman tegas melalui penghakiman mahkamah.
“Manusia hari ini dilihat semakin melampaui batas dan seolah-olah tidak lagi nampak undang-undang mengelilingi hidup mereka. Ada menganggap perundangan ini boleh dijual beli dan mempunyai jalan keluar sekiranya kejahatan-kejahatan dilakukan.
“Mereka menjadi tidak takut kerana beranggapan jika mengambil nyawa orang lain, mereka tidak akan dihukum gantung dan masih boleh dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan. Perundangan hari ini membenarkan kesalahan mengambil nyawa tidak dibalas dengan nyawa,” ujarnya.
Salawati berkata kejadian jenayah termasuk pembunuhan kejam ini berkaitan dengan trend kehidupan semasa masyarakat khususnya membabitkan tekanan hidup.
“Cerita jenayah tidak semua sama, ada unsur komersial, kecurian atau cinta. Yang membuatkan berbeza apabila ia membabitkan kehilangan nyawa dan keadaan sekeliling bagaimana membuatkan penjenayah ini bertindak di luar kawalan.
“Dalam jenayah bunuh ini, semua berperanan penting termasuk keadaan psikologi suspek, masalah kewangan, cemburu buta atau curang. Ia akan terjadi sekiranya kita sebagai manusia lalai dalam kehidupan dan cuai dalam bab agama,” ujarnya.
Beliau berkata walaupun pihak berkuasa atau kerajaan mengatakan kadar jenayah menurun namun ia tidak akan dinilai rakyat sekiranya berlaku kes yang menggemparkan negara seperti jenayah pembunuhan kejam.
“Bila adanya kes kontroversi pastinya rakyat akan ingat dan bimbang ia berulang di sekeliling mereka,” ujarnya.
Kes pembunuhan kejam dilaporkan di negara ini bukan jenayah biasa. Ia disifatkan paling tragis dan sadis serta benar-benar mencuri tumpuan masyarakat yang mana terselit 1‚000 kisah tersendiri sejak ia berlaku pada tahun 1979 hingga hari ini. – WILAYAHKU