MALAYSIA disaran mempertimbangkan untuk membenarkan penglibatan murid seawal usia Darjah 1 dalam gerakan Pengakap.
Langkah pengenalan awal kepengakapan itu selaras dengan perkembangan positif yang telah dilaksanakan di beberapa negara lain.
Cadangan ini disuarakan oleh Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar, ketika Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025 hari ini.
“Saya fikir elok juga kita lihat dan kita boleh memastikan kalau daripada umur Darjah 1 pun boleh sahaja menganggotai pengakap.
“Ini antara idea yang telah dilakukan di pelbagai negara termasuk Maldives, Hong Kong. Jadi elok juga untuk Malaysia ambil kira.
“Lebih-lebih lagi kerana nilai-nilai yang ditonjolkan dalam pengakap itu adalah sangat positif dan membantu dalam perkembangan bukan sahaja seorang pemimpin di sekolah, tapi yang berdampingan dengan masyarakat,” katanya kepada Media Pengakap Malaysia.
Nurul Izzah telah hadir sebagai salah seorang ahli panel pada Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025 hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Prof. Dr. Mohd. Zin Bidin; Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datouk Ahmad Shazilly Ismail Bakti dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Ahmad Sabri Saad.
Untuk makluman, ketika ini murid sekolah rendah mula menyertai unit beruniform pada Darjah 4.
Sebagai individu yang mempunyai pengalaman sendiri sebagai ahli Pengakap, Nurul Izzah turut berkongsi bagaimana pendedahan awal melalui aktiviti kepengakapan membentuk pandangan hidup dan prinsip yang dipegang hingga kini.
“Saya rasa mungkin aktiviti awal-awal itu kan, kita ada belajar tentang real life experiences (pengalaman kehidupan sebenar), bagaimana untuk mandiri di hutan, di luar.
“Tapi pada masa yang sama sentiasa mahu membantu masyarakat dan membantu satu sama lain.
“Jadi saya rasa semangat itu, di samping sentiasa bercakap benar, itu memang antara asas kepada mungkin membentukan pemilihan saya dalam beberapa pilihan hidup,” katanya.
Beliau turut menyeru agar gerakan Pengakap terus diperkukuh dengan sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk alumni yang kini aktif dalam pelbagai bidang.
“Jadi mungkin saya ingin mengajaklah sama-samalah kita merancakkan dan memudahkan lagi penglibatan anak-anak muda serta anak-anak kecil dalam pengakap.
“Dan juga cara kita menyumbang juga walaupun kita telah bekerjaya (namun) dalam usaha untuk kita (menyumbang) mungkin selepas ini dibolehkan menjadi anggota seumur hidup?” katanya.
Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025 yang bermula hari ini sehingga 29 Jun 2025 menghimpunkan pemimpin muda Pengakap dari seluruh Asia-Pasifik bagi memperkukuh peranan gerakan pengakap dalam pembangunan komuniti dan advokasi sosial secara mampan dan inklusif.-WILAYAHKU