Berita

NRES komited galak mekanisme alternatif, hindar penggunaan plastik sekali guna

- Diterbit 5 Mac 2024 7:52 PM MYT

KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited menggalakkan mekanisme alternatif dan bahan lestari dalam pengeluaran plastik.

Menurut Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad usaha itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030.

Katanya, pihak kementerian sentiasa menggalakkan seramai mungkin pemain industri untuk beralih kepada penggunaan plastik yang lebih mesra alam.

“Justeru sebagai warganegara yang bertanggungjawab harus peka dan bertindak untuk tidak menggunakan plastik sekali guna dalam urusan seharian.

“Selain itu, kehidupan dan teknologi tidak dapat dipisahkan. Masyarakat perlu sedar akan kesan barangan elektronik jika tidak dihapuskan dengan betul,”katanya ketika berucap pada program Kesedaran Gaya Hidup Hijau di Taman Pertanian Kilan, hari ini.

Tambahnya, berdasarkan kajian dijangka sebanyak 24.5 juta unit e-waste akan dihasilkan di Malaysia menjelang tahun 2025.

“Sehubungan itu masyarakat perlu cakna tentang pelupusan e-waste dengan kaedah yang ditetapkan oleh Kerajaan bagi menjamin kesejahteraan kehidupan dan kelestarian alam sekitar.

“Ini kerana sisa barangan tersebut berupaya untuk membahayakan kesihatan dan menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar,” katanya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas