KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) menegaskan adalah tidak wajar Malaysia dikenakan sebarang tindakan atau sekatan kerana negara ini tidak pernah menyalurkan sebarang bentuk bantuan ketenteraan kepada Hamas.
Jelas kementerian itu, meskipun Malaysia tidak menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas, pada dasarnya sokongan kepada Gaza lebih bersifat diplomatik, kemanusiaan dan moral, bukannya ketenteraan.
“Sokongan yang diberikan ini adalah wajar dan disuarakan secara betul bersama-sama masyarakat antarabangsa yang lain.
“Sebelum ini Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri telah menerima tiga notis ‘demarche’ daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS), dua daripadanya pada 13 dan 30 Oktober 2023 manakala satu lagi dihantar kepada Duta Besar Malaysia ke AS di Washington pada 18 Oktober 2023.
“Ia merupakan istilah diplomatik yang merujuk kepada tindakan politik. Notis ini dikeluarkan ekoran keengganan Malaysia melabel Hamas sebagai kumpulan pengganas,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
MINDEF menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali mengenai sebarang kemungkinan ancaman atau tindak balas terhadap negara menerusi sokongan yang berterusan diberikan oleh Malaysia terhadap Gaza.
Tambah MINDEF, kerajaan juga sentiasa sedar dan berwaspada terhadap sebarang risiko ancaman dan kemungkinan tindak balas kepada negara.
Antara tindak balas yang dilihat boleh berlaku katanya, adalah tekanan diplomatik dan ekonomi.
“Negara yang menyokong Israel, terutamanya AS dan sekutunya mungkin mengenakan tekanan ekonomi atau sekatan perdagangan secara langsung atau tidak langsung terhadap Malaysia.
“Malaysia juga berisiko menjadi sasaran serangan siber daripada kumpulan pro-Israel atau entiti lain yang tidak bersetuju dengan pendirian Malaysia,” katanya.
Selain itu jelas MINDEF, walaupun Malaysia tegas dalam menangani ekstremisme, sentimen terhadap isu Gaza boleh dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk menyebarkan ideologi radikal.
Malah katanya, tindakan tegas Malaysia terhadap isu Gaza boleh memberi kesan terhadap hubungan perdagangan dan pelaburan, walaupun kesannya bergantung kepada tahap tindakan yang diambil.
“Namun sokongan Malaysia terhadap Palestin mencerminkan komitmen terhadap prinsip keadilan sejagat dan hak asasi manusia.
“Walaupun terdapat potensi risiko dan cabaran, kerajaan akan terus memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin dan menyumbang kepada usaha perdamaian di peringkat global,” tegasnya. – WILAYAHKU