Berita

Nora rujuk semula dengan Dr Rushdi

- Diterbit 14 September 2024 6:51 PM MYT

PENYANYI lagu Hanya Satu, Datuk Nora Ariffin mengesahkan sudah rujuk semula dengan bekas suami, Dr Rushdi Ramli selepas sebulan mengumumkan perceraian menerusi video dalam Instagram (IG).

Nora berkongsi berita gembira itu kepada BH Online, sebentar tadi.

“Alhamdulillah dengan kuasa Allah SWT, suami sudah kembali rujuk. Manusia hanya merancang, namun Tuhan yang menentukan.

“Ia tidak lama selepas peristiwa berlaku. Saya beritahu bagi mengelakkan fitnah berhubung soal tempoh edah,” katanya yang kini berada di Kemboja.

Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin berharap semua pihak mendoakan yang terbaik.

Sebelum ini, ketika majlis sidang media Konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey di BsyncLive Hall, baru-baru ini, pemilik nama lengkap Wan Norafizah Wan Ariffin itu menyerahkan kepada takdir mengenai kemungkinan rujuk semula dengan bekas suami.

Pada 12 Ogos lalu, Nora memuat naik video bekas suaminya menceraikannya dengan talak satu dalam video berdurasi 52 saat dalam IG.

Bagaimanapun, Nora berkata, perceraian berlaku sebelum tarikh video itu dimuat naik.

Selepas video tular, Nora menerima kecaman ramai dan mempertahankan bekas suami serta memaklumkan perkara itu bukanlah atas kehendaknya.

Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021, malah Rushdi adalah sahabat baik Allahyarham Johan Nawawi.

Johan yang juga komposer tersohor meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.

sumber :BH Online

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas