Berita

Nora Danish, Nedim Nazri sah bercerai… “Kami percaya pasti ada hikmah yang terbaik”

- Diterbit 19 Jun 2024 10:46 PM MYT

PELAKON Nora Danish dengan Nedim Nazir sah bercerai setelah tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Nora dan bekas suaminya bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Menerusi Instagram abpbh35 dan portal Berita Harian, Nora akui bukan mudah buat dirinya dan Nedim membuat keputusan untuk berpisah.

“Memang sangat sukar (ambil keputusan untuk bercerai). Sebab kita dah duduk berasingan selama enam bulan.

“Dalam tempoh enam bulan itu kami cuba yang terbaik untuk selamatkan rumah tangga kami tetapi akhir sekali kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

“Kami percaya pasti ada hikmah yang terbaik buat kami berdua. Insya Allah,” katanya.

Dalam masa yang sama, Nora turut memohon agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi tentang punca perpisahan mereka.

“Saya harap semua boleh hormati jawapan yang saya boleh kongsikan iaitu saya dan bekas suami saya, telah dapat persetujuan bersama untuk mengakhiri hubungan kami setelah tujuh tahun… telah berakhir di sini.

“Yang paling penting, tujuan kami, hanya mahu bersama-sama membesarkan anak-anak dengan kasih sayang dan positif. Harap sangat pada anda semua mendoakan baik-baik buat kami sekeluarga.

“Harap juga tiada teori-teori tentang perpisahan kami, sebab saya amat pentingkan keharmonian kedua-dua keluarga, keluarga saya dan Nedim, terutama anak-anak kami, sebab nak besarkan mereka dalam keadaan positif,” katanya.

Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada pukul 8.34 malam, Rabu.

Terdahulu, Nora mengesahkan perkahwinannya dengan Nedim dibina sejak 2017 sedang bergolak.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan anak lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan anak lelaki, Putra Rayqal, 15 sebelum bercerai pada 2008. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas