AMBER, jenama ikonik yang dikenali dengan sentuhan mewah kontemporari, mempersembahkan Amber Oasis Abaya iaitu koleksi edisi terhad yang menggabungkan rejim rekaan avant-garde dan warisan Islamik, diwujudkan untuk wanita berjiwa seni dan bergaya tinggi.
Koleksi ini bukan sahaja menonjolkan rekaan eksklusif dan kontemporari, malah memperkukuh identiti Amber sebagai peneraju dalam segmen pakaian Muslimah berkelas tinggi di Malaysia.
Menariknya, pelancaran kali ini turut mendapat suntikan glamor dan inspirasi dengan pelantikan tiga selebriti wanita tersohor tanah air sebagai duta iaitu Nora Danish, Amira Othman, dan Amyra Rosli.

Ketiga-tiga figura ini bukan sahaja dikenali dengan kejelitaan dan pengaruh mereka, tetapi juga gaya hidup Muslimah moden yang menjadi aspirasi ramai wanita hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd Datuk Adzliana Hasan berkata, Amber Oasis Abaya bukan sekadar pakaian, sebaliknya ia adalah manifestasi seni dan keanggunan.
“Amber bukan sekadar jenama, ia adalah lambang kepada keyakinan dan keanggunan wanita Muslimah moden. Kami percaya bahawa setiap wanita berhak untuk bergaya dengan penuh keyakinan tanpa mengetepikan nilai dan keselesaan.
“Pelancaran Amber Oasis Abaya ini merupakan manifestasi komitmen kami dalam menyediakan fesyen berkualiti tinggi dengan sentuhan eksklusif tempatan.
“Kerjasama kami bersama tiga selebriti ini bukan sekadar kempen pemasaran, tetapi adalah usaha strategik untuk mendekatkan jenama dengan pengguna yang mengidolakan mereka sebagai wanita hebat yang tetap menjaga prinsip dan imej walau dalam dunia serba moden,” katanya.
Koleksi Amber Oasis Abaya menampilkan empat rekaan utama yang dinamakan Madeena, Arora, Jumaira, dan Sahara yang masing-masing direka dengan teliti untuk memenuhi cita rasa berbeza wanita moden.
Madeena (RM329) – Menonjol dalam rona lembut seperti baby blue, maroon, dan purplish gold, abaya ini hadir dalam potongan free size dengan elemen kelembutan dan keanggunan klasik.
Arora (RM289) – Didatangkan dalam dua versi iaitu copper brown (pleated) dan midnight blue (non-pleated), sesuai untuk wanita yang gemar kelainan tekstur dan potongan berstruktur.
Jumaira (RM259) – Abaya kasual namun mewah dengan pilihan warna white, mint green dan light brown, sesuai digayakan untuk acara siang dan malam.
Sahara (RM199) – Pilihan paling versatil dan mampu milik dalam koleksi ini, hadir dalam warna black, brown dan green, tetap mengekalkan aura eksklusif walaupun dengan potongan yang ringkas.
Dalam pada itu, pemilihan Nora Danish, Amira Othman dan Amyra Rosli adalah berdasarkan personaliti mereka yang mencerminkan nilai-nilai jenama Amber iaitu elegan, yakin, dan menghormati gaya hidup Muslimah moden.
Nora Danish, yang terkenal dengan gaya sofistikated, menggambarkan kemewahan abaya Madeena. Amira Othman, dengan imej santun dan lembutnya, sinonim dengan aura feminin Jumaira. Sementara Amyra Rosli, seorang ikon wanita muda berkeluarga, tampil serasi dengan Arora, yang berani dan moden.
Bagi edisi terhad, hanya 500 unit setiap rekaan disediakan.
Selain itu, bagi pakej eksklusif, setiap pembelian termasuk kotak hadiah berlapik sutera, sijil keaslian bernombor, dan e-pass jemputan majlis preview eksklusif di Kuala Lumpur Fashion Week, September 2025. – WILAYAHKU